PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia berpeluang menaiki bas secara percuma di kawasan Putrajaya bermula 1 Nov ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Rosida Jaafar berkata inisiatif bas percuma membabitkan kos RM12 juta setahun itu akan melibatkan 30 bas serta 12 laluan bas Nadi Putra di sekitar Putrajaya.

Beliau berkata kemudahan yang disediakan menerusi agensi KWP, Perbadanan Putrajaya (PPj), itu adalah antara inisiatif di bawah Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat khususnya warga Putrajaya mengurangkan beban sara hidup dalam aspek pengangkutan serta memudahkan masyarakat berurusan dengan kerajaan.

“Pada masa yang sama, perkhidmatan percuma ini juga dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang membantu memulihkan ekonomi setempat ekoran pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan bas percuma itu di sini, hari ini.

Beliau berkata penumpang bas bukan warganegara pula dikehendaki membayar tambang RM1.50.

Rosida berkata aspek prosedur operasi standard (SOP) untuk pencegahan penularan jangkitan COVID-19 perlu dipatuhi antaranya penjarakan tempat duduk, pengurangan kapasiti penumpang, pengambilan suhu badan serta pendaftaran MySejahtera.

Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 bermula di Kompleks E dan akan melalui kompleks kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Presint 1 (Kompleks A, B, C, D dan E) dan Persiaran Perdana (Presint 2 dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang di Presint 4.

Bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya pula akan melalui kawasan perumahan, komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga Presint 4, dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu dan cuti umum.

Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua hentian iaitu Kompleks E di Presint 1 dan Dataran Gemilang di Presint 4 akan dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang.

— BERNAMA