KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengeluarkan arahan penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen, Kota Samarahan dan Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki di sini untuk tempoh tujuh hari mulai hari ini hingga 1 Nov berikutan pengesahan kes COVID-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan di dua sekolah berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata guru dan petugas di kedua-dua sekolah terbabit telah disarankan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan itu.

Guru yang terlibat turut disarankan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian dan keupayaan akses telekomunikasi pelajar mereka.

SMK Wira Penrissen dan SK Jalan Haji Baki ditutup tujuh hari selepas seorang pelajar sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

— BERNAMA