KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM1 bilion untuk Dana Warisan Petroleum Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan, mengulas cadangan penubuhan dana tersebut oleh Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Penubuhan dana itu akan membolehkan Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma untuk pendidikan tinggi daripada peringkat sijil hingga peringkat doktor ijazah (PhD).

Abang Johari berkata, dana tersebut secara langsung membantu sistem pendidikan terutama dari segi penajaan biasiswa kepada pelajar Sarawak.

“Yuran GPS tanggung, apa yang dikatakan oleh Fadillah RM1 bilion, akan kita peruntukan untuk sekolah.

“Ini supaya anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan di Sarawak menjadi jaguh dunia bukan jaguh kampung,” katanya pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Terdahulu Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan agar Sarawak menubuhkan Dana Warisan Petroleum Sarawak.

Menurutnya, dana yang disalurkan itu nanti adalah sebahagian daripada hasil kutipan cukai jualan negeri (SST) sumber minyak dan gas Sarawak.

“Untuk permulaan mungkin bajet RM1 bilion boleh dipertimbang untuk dana ini dalam Belanjawan 2021 Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ia boleh disalurkan dalam bentuk dermasiswa atau biasiswa kepada seluruh rakyat Sarawak dan dana itu juga boleh digunakan bagi membantu kumpulan B40, membina kediaman rakyat termiskin.

“Selain itu, ia juga mungkin boleh digunakan untuk memberikan bantuan kewangan bulanan RM500 kepada warga emas yang hidup susah kerana data terkini menunjukkan 16 peratus warga emas di Sarawak hidup dalam kategori miskin dan hidup susah,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada 17 September 2020 Petronas dan anak syarikatnya telah melunaskan sepenuhnya bayaran SST yang tertunggak berjumlah RM2,956,671,407.36 ke atas produk petroleum untuk tahun 2019 kepada Kerajaan Sarawak.