KUCHING: Kawasan Satok diyakini menjadi acuan kepada warisan makanan di bawah ekopelancongan, apatah lagi terletak di tengah bandar raya Kuching.

Sebut sahaja Medan Niaga Satok, ia adalah tempat “pertemuan” popular antara peniaga dan pembeli.

Ia seolah-olah memenuhi keperluan dan kehendak pengguna daripada ikan terubuk hingga ke benih bunga, daripada terung asam hingga sayur midin, daripada kuih keria hingga ke burger.

Bagi penduduk Satok Kaunselor Dzamaluddin Zainudin, banyak perubahan yang rancak di Satok.

“Pembangunan di kawasan Satok disusun secara rapi oleh Ketua Menteri selaku Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Satok diubah wajah sebagai salah satu produk pelancongan di Sarawak apabila terbinanya Jambatan Darul Hana, Masjid Lebuh India dan bakal menyusul Hikmah Exchange,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Sudah tentunya, Ketua Pemuda PBB Satok ini melahirkan rasa syukur dengan kemudahan yang dinikmati sekarang.

“Kita juga akan mempunyai sebuah muzium bertaraf antarabangsa sebagai pelengkap kepada industri pelancongan Sarawak.

“Malah, kita telah mewujudkan Pasar Seni Satok di Jalan Haji Taha dan Medan Belia Niaga untuk memberi peluang kepada generasi muda bersaing dalam kemahiran masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini, seramai 11 pengusaha dari Satok berniaga produk warisan Sarawak yang dijual di Pasar raya Mydin.

“Ini membuktikan kita sedia membantu usahawan di kampung untuk mempromosikan dan menjual produk mereka di pasar raya mega.

“Dengan kemudahan sedia ada, saya berharap lebih ramai anak muda di Satok merebut peluang menceburi bidang perniagaan,” ujarnya.