BINTULU: Keghairahan 40 individu berhibur di sebuah premis hiburan di kawasan Tanjung Batu Commercial Centre terlerai akibat diserbu polis, semalam.

Premis tersebut diserbu sekitar jam 3 pagi oleh pasukan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Bintulu setelah dikesan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata, seramai 19 orang wanita dan 23 lelaki masing-masing warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan di dalam premis.

Menurutnya, pengurus premis iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 32 dan 20 tahun gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan premis kepada pihak operasi.

“Kesemua pelanggan dilihat dalam keadaan bersesak sedang berhibur dan muzik dimainkan sebelum polis mengarahkan lampu premis dibuka dan muzik dimatikan untuk pemeriksaan.

“Mereka seterusnya dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu serta dikenakan kompaun di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 8)2020,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, pengurus premis disiasat di bawah 24 Ordinan Hiburan 2001/ 5(1)(b) Ordinan Hiburan 2000/ 269 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh berhadapan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi operasi tiada lesen hiburan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Tambahnya, turut dirampas pelbagai peralatan sistem bunyi, kerusi, meja, dan wang tunai sebanyak RM2,700.