KUCHING: Rezeki Air satu dokumentari berepisod yang mengisahkan bagaimana sesetengah individu yakin bahawa di bawah aliran air ada rezeki tersembunyi.

Di TVS, setiap Isnin hingga Khamis jam 7.15 malam, penonton akan teruja untuk menonton kisah kehidupan pencari rezeki di sungai dan laut sebagai sumber rezeki.

Penerbit Rezeki Air Sylvester William Awat berkata, cabaran terbesar dalam pembuatan dokumentari tersebut apabila sasaran yang tidak pasti.

“Ia tidak sama seperti kita berurusan dengan manusia. Kami tidak dapat menetapkan tarikh tepat terutama apabila melibatkan rezeki bermusim seperti ketam dan sebagainya. Ia juga banyak dipengaruhi keadaan air dan cuaca,” katanya.

Sylvester William Awat

Tambah Sylvester, justeru ia dinamakan rezeki air dan dokumentari itu amat istimewa bagi dirinya. “Ia mendekatkan jiwa kepada masyarakat. Saya menyebutnya sebagai doku rakyat yang bermaksud dokumentari rakyat,” ujarnya.

Rata-rata anak Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Brunei termasuk luar negara setuju dengan pendapat – apabila menonton Rezeki Air, mereka seoalah-olah berada di Sarawak, berasa dekat di tanah tumpah sendiri.

Kata mereka, ia melangsaikan rindu kepada Sarawak. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Sarawak (SMG) Suhaimi Sulaiman juga memuji program berkenaan kerana penyampaiannya menerusi penceritaan sangat baik.

Rezeki Air juga mendapat pujian daripada penonton di seluruh negara kerana ia mampu membuka mata banyak pihak. “Saya diberitahu ramai yang tidak mahu terlepas program ini mereka juga memberitahu ini merupakan program terbaik yang pernah mereka tonton,” ujarnya.

Suhaimi mendedahkan, program ini juga merupakan sebahagian daripada peranan TVS dalam membangunkan industri kandungan kreatif yang menampilkan karya dan bakat tempatan.

“Kami menyediakan platform dan menjalinkan kerjasama dengan penerbit rancangan, Sylvester dan secara tidak langsung ia juga membentuk komuniti.

“Jadi ini adalah perkara yang kita lakukan supaya boleh dirasai orang luar,” tegasnya.