KUCHING: Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sarawak tahun ini akan diadakan tanpa perarakan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hari ini berkata penganjuran sambutan ini akan dibuat berdasarkan garis panduan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Sambutan Maulidur Rasul boleh diadakan di masjid dan surau masing-masing di seluruh negeri tetapi tidak dibenarkan mengadakan perarakan. Jadi kita di peringkat negeri pun sama,” katanya ketika ditemu bual Stesen Radio SarawakFM di sini.

Menurutnya, sambutan bermula pada petang Rabu dengan majlis kesyukuran di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin di sini yang akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sambutan diteruskan dengan bacaan Yasin, solat maghrib dan isyak berjemaah, tazkirah Maulidurasul dan Zikir Maulud, sebelum Abdul Taib merasmikan Taman Islam Darul Hana di masjid berkenaan.

Pada keesokan harinya, acara sambutan diteruskan di Bangunan Majma Tuanku Abdul Halim Shah di Jalan P. Ramlee di sini dengan satu perhimpunan berlandaskan jemputan terhad akan diadakan.

Selain amanat daripada Ketua Menteri Sarawak, atur cara sambutan turut membabitkan penyampaian penghargaan khas Jabatan Agama Islam negeri melalui Majlis Islam Sarawak kepada agensi yang terlibat dalam pengurusan COVID-19.

Dr Abdul Rahman berkata sambutan tahun ini bertemakan “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.