PADAWAN: Tindakan pantas seorang wanita berlari keluar berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kebakaran sebuah rumah di Kampung Darul Islam Belimbing, hari ini.

Kejadian berlaku sekitar jam 10.49 pagi itu menyaksikan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 20×60 kaki persegi hangus secara menyeluruh.

Mangsa berusia 21, yang juga penghuni kediaman terbabit bagaimanapun ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Siburan dengan kekuatan lapan anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi operasi pemadaman terus dilaksanakan menggunakan satu aliran 300 dengan dua pancutan dan satu aliran bantu mula air dari pili bomba.

“Komander operasi bomba mengesahkan kebakaran menyebabkan kediaman terbabit hangus 100 peratus.

“Seorang penghuni disahkan selamat dan punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keadaan sudah dalam terkawal dan operasi seterusnya ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari.

Terdahulu, operasi turut melibatkan penguat kuasa daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Sesco Sdn Bhd.

. PADAM… kelihatan seorang pertugas bomba sedang menjalani operasi pemadam di lokasi

HANGUS… rumah terbabit hangus 100 peratus akibat kejadian