SUARA SARAWAK menemu bual Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen PBB Zon Kuching DATUK SERI FADILLAH YUSUF bagi mengupas mengenai hala tuju konvensyen dan masa depan PBB dalam arena politik Sarawak.

SUARA SARAWAK: Siapa yang menghadiri Konvensyen PBB Zon Kuching hari ini?

DATUK SERI FADILLAH: Konvensyen hari ini melibatkan 26 cawangan PBB dan 1,254 perwakilan. Maknanya dari kawasan Lundu termasuk Serian, Bau, Kuching dan juga Kota Samarahan akan hadir. Ini merupakan konvensyen terakhir untuk PBB tahun ini selepas usai di Miri kemudian Betong, Sibu dan Kuching

Beberapa siri konvensyen diadakan di Miri, Betong dan Sibu. Dan, yang terakhir hari ini. Benarkan ia memberi mesej jelas bahawa Pilihan Raya Negeri Ke-12 akan diadakan pada bila-bila masa?

Ya dan tidak. Sebenarnya, dalam PBB, kami tidak bekerja hanya untuk bersedia berdepan dengan pilihan raya semata-mata. Ia merupakan program yang berterusan dan kita melaksanakan konvensyen hampir setiap tahun.

Ini sebenarnya untuk mengemas kini dan mendengar suara rakyat sekali gus menyampaikan kepada mereka mengenai polisi negeri dan persekutuan.

Termasuk semua inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat supaya mereka mendapat maklumat terkini.

Tema kali ini sama seperti konvensyen sebelum ini?

Ya. Tema diputuskan oleh jawatankuasa utama. Tema sama dengan konvensyen di Miri, Betong dan Sibu.

Boleh Datuk Seri jelaskan pengisian konvesyen?

Pengisiannya terdapat kelainan sedikit berbanding kawasan lain tetapi kita akan memuktamadkannya.

Secara asasnya konvensyen ini membicarakan mengenai semua inisiatif kerajaan yang diberikan bukan sahaja dari segi bantuan kepada rakyat tetapi juga semua projek penting untuk membawa kemajuan kepada seluruh Sarawak.

Kita turut membincangkan mengenai pencapaian terkini negeri khususnya.

Saya rasa anda melihat kisah kejayaan rundingan dengan Petronas bernilai RM2.9 bilion kepada Kerajaan Sarawak. Namun lebih penting, konvensyen ini dihadiri komuniti, pemimpin daripada akar umbi kerana kami ingin mendengar daripada mereka.

Kami mendengar suara rakyat melalui akar umbi.

Dari situ, kami akan mengambil maklum supaya dapat mengatasinya. Kami berusaha menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Dalam apa-apa jua bantuan, semua inisiatif sudah dilaksanakan – sama ada sampai atau tidak kepada rakyat.

Harapan Datuk Seri untuk peserta konvensyen ini?

Harapan saya yang pertama ialah dapat berkumpul bersama-sama perwakilan.

Dengan menjemput semua peserta datang ke konvensyen, kita boleh mengumpulkan semua pemimpin dan akar umbi untuk bersemuka antara satu sama lain.

Dengan itu, saya berharap perwakilan mengubah pandangan, bukan sahaja mendengar atau mendapatkan kemaskini daripada ketua parti tentang semua inisiatif kerajaan atau polisi tetapi yang lebih penting boleh berinteraksi dan mengubah pandangan mengenai cara mereka boleh berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

Dengan belajar antara satu sama lain, apa-apa sahaja masalah dan isu dihadapi rakyat, mereka dapat mengatasinya. Ini berhubung rapat dengan cara kita membawa aspirasi atau keperluan rakyat. Malah ia akan menguatkan lagi semangat berpasukan.

Apakah kekuatan kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Presiden PBB hingga mampu memandu Sarawak pantas ke hadapan?

Yang pertama saya menyifatkan beliau seorang pemimpin yang berwawasan. Sebab itu, kita boleh lihat semua pengenalan kepada polisi baharu dan inisiatif oleh Ketua Menteri yang kita boleh lihat dengan jelas.

Beliau meletakkan Sarawak ke arah yang betul dan menguna pakai strategi yang betul. Beliau juga berpandangan jauh dari segi semangatnya.

Sebagai contoh, langkah bijak menubuhkan Petros dan sekarang Sarawak menjadi pemain utama industri minyak dan gas.

Kita bukan sahaja melihat, kita bukan sahaja menerima royalti daripada Petronas dengan menjadi pengawal selia.

Mereka boleh mengambil peranan aktif bukan sahaja sebagai pengawal selia tetapi pemain sebenar dalam industri minyak dan gas. Oleh sebab itu, kita mampu berunding dengan Petronas. Akhirnya, kita menerima pembayaran sebanyak RM2.9 billion.

Yang kedua, beliau mengumumkan supaya fokus kepada ekonomi digital. Dengan situasi Covid-19 sekarang ini, kita kini menyedari bahawa ia amat penting untuk semua rakyat mempelajari teknologi termasuk teknologi dalam talian. Memperoleh pengetahuan ICT, sebab itu fokusnya terhadap menaik taraf jaringan telekomunikasi.

Selain itu, Ketua Menteri juga fokus dan sangat komited merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar.

Sebab itu, kita boleh lihat kawasan pesisir pantai, jalan sedang dibina dan Ketua Menteri berani untuk menyediakan bajet yang besar dari segi menaik taraf kemudahan masyarakat khususnya di luar bandar – dari segi air dan elektrik yang sekarang sedang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

Maknanya, kita tidak lagi terikat dengan Putrajaya untuk membawa kemudahan utiliti ke luar bandar. Kita juga dapat mempercepatkan bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar khususnya pedalaman. Sebab itu, kita ada Sares dan Sawas.

Ini membuktikan Ketua Menteri sangat komited dan berpandangan jauh dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat Sarawak. Jadi tiada sebab, mengapa kita tidak patut menyokong beliau.

Apakah visi Abang Johari terhadap PBB?

Yang pertama untuk memperkukuh PBB dari segi perpaduan. Kita mesti bersatu padu supaya menjadi parti yang kuat. Menjadi tulang belakang Kerajaan Sarawak.

Kita juga mesti meningkatkan keupayaan dan kapasiti rakyat, yang bermaksud pemerkasaan kepimpinan mesti ada dan juga inklusif.

Kita mesti ada wakil golongan muda, kita mesti ada wakil golongan wanita dan ia perlu inklusif. Abang Johari mahu pemimpin yang komited untuk bersama-sama beliau berkhidmat kepada Sarawak. Tentunya kita memerlukan pemimpin yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah cabaran utama yang dihadapi PBB dan bagaimana cara mengatasinya?

Sudah tentu setiap parti perlu berdepan dengan banyak cabaran. Ya, cabaran dalaman dan luaran. Kita mesti jujur dalam apa yang dilakukan dan fokus perhatian kepada parti, rakyat dan negeri ini. Jika kita fokus untuk memberikan yang terbaik, ia akan menjadi nilai yang baik yang kita perlu didik dalam kalangan ahli parti. Saya fikir kita akan dapat menghadapi apa jua cabaran itu. Yang penting tetap fokus.

Kriteria bagi seseorang calon? Mungkinkah ahli politik lama akan memberi jalan dan peluang kepada golongan muda?

Dalam PBB, ia menjadi satu tradisi apabila mereka dilatih mengenai perkara tersebut kerana tiba masanya ahli politik mengundurkan diri dan menyerahkan tugas kepada orang muda.

Saya mengetahui bahawa terdapat pemimpin kanan atau pemimpin lama yang mempunyai banyak pengalaman telah berkhidmat dan memberi sumbangan besar kepada rakyat dan parti.

Mereka menyedari bahawa sudah tiba masanya menyerahkan tugas kepada golongan muda.

Sebagai ahli politik, kami mengetahui apabila tiba waktu yang terbaik untuk kami untuk menyerahkan jawatan kepada generasi baru.

Ini merupakan langkah yang terbaik untuk parti dan rakyat.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa peribadi seseorang ahli politik merupakan harapan bagi pengundi. Rakyat hanya menginginkan pemimpin memberikan yang terbaik seperti melayani rakyat dan selalu berada di lapangan.

Sekiranya terdapat masalah, rakyat ingin pemimpin mereka selalu ada untuk mendengarkan masalah mereka dan mencari jalan keluar untuk masalah tersebut.

Apakah pengajaran yang dapat dipelajari daripada kekalahan dalam PRU yang lepas?

Terdapat banyak pengajaran yang boleh didapati dalam PRU yang lepas.

Jika kita melihat PRU14 di bawah pemerintahan Barisan Nasional, rakyat lebih mementingkan persepsi seseorang pemimpin.

Tidak kira apa peruntukan yang diberikan kepada rakyat dan inisiatif seperti peruntukan kepada rakyat bermula daripada bayi belum lahir sehingga seseorang individu itu meninggal dunia.

Namun, yang rakyat inginkan pemimpin yang mempunyai integriti yang tinggi dan latar belakang bersih untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Oleh itu, sebagai seorang ahli politik, mereka harus menitikberatkan mengenai persepsi yang baik kepada rakyat.

Jika seseorang ahli politik mempunyai isu tersendiri, mereka perlu menyelesaikan perkara tersebut secara dalaman agar tidak memberi kesan kepada sesebuah parti.

Sekiranya Dun dibubarkan esok, sejauh mana Datuk Seri yakin GPS bakal memperoleh kemenangan besar?

Saya yakin apa yang telah kami lakukan. Banyak peruntukan kepada rakyat lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid-19 yang mencabar ini.

Malah, jika kita melihat dari sudut prestasi ekonomi, sesetengah negara pada masa sekarang berada dalam keadaan gawat dan terdapat juga negeri yang tidak mampu untuk menolong rakyat mereka sendiri.

Di sini, kita melihat bahawa Kerajaan Sarawak mampu untuk memberikan peruntukan yang terbaik untuk rakyat walaupun Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan peruntukan kepada rakyat.

Selain itu, dengan hubungan baik yang dijalinkan, kita juga mampu mendapat bayaran daripada Petronas.

Komen Datuk Seri mengenai kenyataan Ketua Menteri bahawa Ahli Parlimen tidak akan bertanding dalam PRN?

Jika itu yang dimahukan oleh Ketua Menteri, kami hanya menurut perintah. Lagipun, ia keputusan terbaik untuk rakyat dan Sarawak.

Benarkah pembangkang terutamanya PSB melakukan serangan di kawasan luar bandar?

Malaysia mengamalkan konsep negara yang demokratik dan semua parti pasti akan terlibat untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Setiap parti mahupun parti pembangkang melakukan banyak perkara.

Oleh itu, setiap parti mempunyai hak untuk melakukan apa yang mereka ingini.

Namun, apa yang GPS tekankan, kami sentiasa ada untuk rakyat. Kami membuktikan bahawa tidak hanya berjanji kepada rakyat mengenai apa yang ingin kami lakukan.

Kami juga membuktikan bahawa sentiasa berkhidmat untuk rakyat. Jadi parti politik seperti PSB, DAP, PKR boleh pergi dan bergerak ke mana yang mereka kehendaki walaupun di pedalaman.

Namun, saya berharap rakyat di Sarawak akan melihat perkara tersebut secara objektif.

Jika kita melihat apa yang terjadi kepada tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu, mereka banyak menabur janji mengenai banyak perkara dengan rakyat.

Oleh itu, rakyat perlu menyedari kerana semasa pilihan raya, banyak perkara yang akan dijanji namun tidak mudah untuk mereka tepati.

Akhir sekali, sejauh mana keyakinan terhadap GPS pada PRN-12 ini?

Saya mengambil pendapat daripada penganalisis politik, apa-apa sahaja mengenai politik.

Saya menjadikannya rujukan pada masa akan datang. Namun, apa yang menentukan kemenangan GPS ialah bagaimana ahli politik menyantuni serta memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Jika ahli politik memberi khidmat terbaik kepada rakyat, semestinya rakyat akan menyokong mereka.

Analisis dan kajian yang dilakukan hanyalah perkongsian pendapat namun ujian yang sebenar – bagaimana sesebuah parti tersebut menyediakan dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Jika rakyat berpuas hati terhadap khidmat yang diberikan dan melihat perkara tersebut dengan mata yang terbuka, sudah pasti kami boleh menang lebih daripada dua pertiga kerusi.