KAPIT: Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan di kawasan ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, satu tapak di bahagian itu telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut.

“Bagaiamanapun, satu pusat sementara akan ditubuhkan untuk membantu petani menjual lebihan hasil lebihan mereka seperti dabai, durian dan buah mata kucing atau lebih dikenali sebagai isau.

“Kami akan menyediakan mesin yang diperlukan. Kapit sangat terkenal dengan dabai yang berkualiti tinggi dan sering dicari peminatnya.

“Apabila buah telah siap dibungkus secara vakum, ia dapat bertahan selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Jabatan Pertanian di Rumah Manok Manchal Sungai Yong di sini, semalam.

Uggah menambah, Kapit memiliki potensi besar dalam industri pertanian dan ternakan kerana tanahnya yang sangat luas.

“Atas permintaan projek ekonomi berskala besar di Sungai Yong, kementerian saya berharap dapat melakukan survei tanah dan diikuti tinjauan terhadap tanaman berpotensi terlebih dahulu.

“Petani di sini sudah menjadi penanam sayur yang berpengalaman dan tanah bukan satu isu bagi mereka.

“Sementara itu, saya meminta Jabatan Pertanian untuk mempromosikan sistem pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik dalam kalangan masyarakat.

“Sistem ini tidak memerlukan banyak tenaga kerja atau tanah tetapi sangat produktif apabila diuruskan dengan betul,” jelasnya.

Dari segi penternakan pula, Uggah berkata, mereka berharap dapat memperkenal inseminasi buatan untuk menghasilkan lebih banyak haiwan ternakan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan baharu berjumlah RM1 juta untuk melaksanakan pelbagai program pertanian di kawasan Bukit Goram sebagai tambahan kepada RM1.7 juta yang diberikan sebelum ini.

Selain itu, Uggah mengumumkan geran berjumlah RM20,000 kepada JKKK rumah panjang dan RM10,000 kepada Biro Wanita Bukit Goram.