KUCHING: Semua jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir akan siap dalam tempoh lima tahun.

Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan pesisir yang telah dirancang telah dibatalkan setelah Kerajaan Persekutuan bertukar pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Lantaran itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah mencari jalan untuk mendapatkan dana bagi membiayai jambatan-jambatan pesisir yang telah dibatalkan itu.

Jelas Abang Johari, pembinaan jambatan tersebut menggunakan hasil daripada perolehan Cukai Jualan Negeri (SST).

Katanya, Kerajaan Sarawak menerima bayaran SST daripada Petronas setelah akur kepada keputusan mahkamah.

“Tuan-tuan datanglah rezeki kita RM2.95 bilion campur lagi dengan dari Shell dan Murphy, kita dapat lebih kurang RM3.2 bilion tambahan pendapatan Sarawak.

“Bayangkan lima tahun, RM15 bilion beres semua jambatan, dalam masa lima tahun akan siap semua termasuk lebuh raya Samarahan-Kuching,” katanya pada perasmian Konvensyen PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Ahad.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata lebuh raya itu akan dinaik taraf dengan lima bulatan dan dilengkapi lampu isyarat pintar.

Ia ekoran penduduk Samarahan sering mengadu lebuh raya itu sentiasa sesak.

Tambahnya lagi, sebuah jambatan turut dibina yang menyeberangi Sejingkat dan BCCK.

“Jalan raya baharu itu nanti turut menghubungkan Jalan Sultan Tengah, Santubong.

“Jadi, kita ada dua jambatan dan jalan raya baharu termasuk di Kuching ini.

Kalau jambatan di tengah dan Utara kita buat, di Selatan juga kita buat yang menghubungkan kawasan-kawasan baharu ini,” jelasnya.

MERIAH… Abang Johari bersama-sama Douglas Uggah, Awang Tengah, Fadillah Yusof dan Michael Manyin
disambut meriah setibanya di BCCK, Kuching pada Ahad.