KUCHING: Sebanyak 1,396,886 hektar tanah telah diluluskan untuk diukur keliling di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee berkata, data tersebut adalah daripada Kemajuan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) setakat 31 Julai lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden PBB berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 941,318 hektar sudah diukur keliling, manakala 455,568 hektar masih menunggu untuk diukur keliling.

“Daripada jumlah yang telah diukur keliling, sebanyak 753,456 hektar sudah diwartakan dan 187,862 hektar masih menunggu pewartaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perkongsian Strategi: Tanah NCR di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Ahad.

Roland menambah, sebanyak 113,279 hektar telah diluluskan untuk pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Hak Tanah Sarawak.

“Sebanyak 42,962 hektar telah diukur lot dan 70,317 hektar masih menunggu pengukuran lot.

“Bagi tanah yang sudah diukur lot individu, sebanyak 6,898 hektar telah dikeluarkan geran,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan perlunya untuk menyukat tanah menggunakan Seksyen 6 supaya tanah tersebut tidak bertindih dengan tanah hak orang lain atau tanah kerajaan.

“Tanah yang diukur dengan Seksyen 6 adalah lebih cepat kerana jika diukur dengan Seksyen 18 ia akan mengambil masa yang lebih lama,” ujarnya.