SEMATAN: Projek tukun tiruan oleh Kerajaan Sarawak telah berjaya menyelamatkan habitat hidupan marin khususnya penyu dan pada masa sama meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata, pihaknya telah memulakan langkah penanaman tukun tiruan sejak 1998 iaitu 22 tahun yang lalu bermula di Talang Satang ekoran banyak penyu mati dan terdampar di kawasan tersebut akibat aktiviti pukat tunda haram.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak telah bersetuju menanam tukun di kawasan tersebut serta berjaya merosakkan pukat tunda sekali gus menyebabkan nelayan pukat tunda mula menghindari zon larangan perikanan tersebut.

“Hasilnya, jumlah penyu yang direkodkan mati di kawasan berkenaan bukan sahaja berkurangan sebanyak 90 peratus (kurang dari 10 ekor setahun) malah pendapatan para nelayan meningkat sehingga tiga kali ganda iaitu 300 peratus.

“Taraf sosioekonomi nelayan tradisional di kawasan ini turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 SFC Oswald Braken Tisen pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu semalam.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu.

Zolkipli menambah kejayaan penanaman tukun dan Program Pemuliharaan Penyu telah menampakkan hasil dimana penyu-penyu berkenaan telah kembali semula ke habitat asalnya bukan hanya di pulau tetapi juga pantai kawasan ini.

Selain itu, beliau berkata projek tukun juga akan memberi manfaat dari sudut pelancongan.

“Apabila habitat hidupan marin terjaga, ia akan menjadi tarikan pelancong di kawasan terlibat.

“Sebagai contoh, penyu yang banyak membiak di kawasan ini bakal meningkatkan potensi pelancongan berdasarkan pemuliharaan penyu,” katanya.

Sementara, Zolkipli berkata perairan Sarawak bakal mencatatkan rekod sebagai kawasan yang mempunyai projek tukun tiruan jenis Reefball terpanjang di dunia apabila semua 16,800 tukun ini siap ditanam di sepanjang perairan 1,000 kilometer pada 2021.

Beliau berkata setakat ini, SFC telah menanam sebanyak 600 tukun tiruan di perairan Belawai-Paloh pada 2018, manakala pada tahun 2019 sebanyak 600 unit di perairan Lawas dan 1200 unit di perairan Igan ke Mukah.

Pada tahun ini, katanya 1,200 unit telah ditanam di perairan Muara Tebas-Sebuyau, 660 unit di perairan utara Pulau Bruit-Igan dan 1,100 unit di perairan Sampadi-Tanjung Datu.

“Tukun yang kita turunkan ini merupakan projek yang diilhamkan oleh Ketua Menteri sendiri yang telah memperuntukkan dana RM70 juta untuk menanam sejumlah 16,800 tukun tiruan dari 2018 sehingga 2021 di sepanjang 1,000 kilometer perairan Sarawak,” katanya.