KUCHING: Sebanyak 5,975 lot tanah kosong daripada 38,132 jumlah lot diperuntukkan di bawah Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang masih boleh dimohon oleh rakyat di negeri ini.

Timbalan Presiden PBB Dr Annuar Rapa’ee berkata, maklumat mengenai kawasan lot kosong tersebut boleh didapati di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS).

“Daripada 38,132 lot sebanyak 26,669 lot adalah berbentuk Lesen Menduduki Sementara (Tol) dan baki 11,463 lot telah didaftarkan sebagai hak milik.

“Lot yang berstatus Tol juga layak dijadikan sebagai hak milik individu dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Untuk lot tanah yang berstatus Tol hendaklah membina sebuah rumah, sekiranya lot berkenaan didapati tidak didiami maka Ketua Masyarat berhak melaporkan kepada JTSS untuk ditarik balik lot tersebut dan diberikan kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan mengenai Perkongsian Strategik Mengenai Perumahan sempena dengan Kovensyen PBB di BCCK, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan bahawa untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebanyak 41 projek SPS dan SPK yang baharu bakal dirancang dan 11 lagi projek adalah kesinambungan daripada RMK 11 dengan anggaran kos keseluruhan RM788,840,900.

Jelasnya, standard baharu pelaksanaan projek tersebut adalah penambahbaikan yang melibatkan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang dahulunya hanya jalan batu dinaik taraf kepada jalan berturap.

Selain itu, lot-lot tanah dahulu diagihkan tanpa ditimbus kini harus ditembok sebelum diserahkan kepada penerima.

Manakala, sistem perparitan dalam skim dahulu juga hanya parit tanah namun kini ditambah baik kepada parit konkrit.