SERIAN:  Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak telah mengeluarkan 41 kompaun bernilai RM82,000 kepada pemilik yang kenderaan berenjin diesel mereka didapati mengeluarkan asap hitam melebihi had dibenarkan, bagi tempoh Januari lalu hingga kini.

Pengarahnya Hamzah Mohamad berkata kompaun yang bernilai RMM2,000 setiap satu tersebut dikeluarkan menerusi 15 Operasi Bersepadu Pelepasan Asap Hitam Kenderaan (Ops Gerak) yang dijalankan jabatan itu sepanjang tempoh berkenaan.

“Kompaun terbabit dikeluarkan selepas pemeriksaan kita (JAS Sarawak) mendapati asap hitam dilepaskan kenderaan berenjin diesel adalah melebihi had, kita percaya ini kerana kenderaan terbabit tidak diservis secara berkala dan tidak melakukan pemeriksaan di Puspakom dan sebagainya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan Ops Gerak kali ke-15 di di Jalan Kuching-Serian, di sini hari ini, beliau berkata pengeluaran kompaun itu diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

Katanya JAS Sarawak akan terus mengadakan Ops Gerak dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan peraturan tersebut.– BERNAMA