KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Ali Hasan, kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan melaksanakan perkara tersebut, demi kepentingan negeri, kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, beliau sentiasa berusaha mencari jalan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih untuk Sarawak, bagi merealisasikan usaha merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kawasan Selangau Bahagian Sibu di Rh.

Penghulu Surang, Nanga Tajam, Selangau semalam.

Tambahnya, ia juga dapat dilihat melalui projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, projek Jalan Utama Kedua, jambatan-jambatan yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan dan lain-lain.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil balik tanah, sama ada ia tanah mempunyai hak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak tidak mengambil tanah secara percuma tetapi mengikut undang-undang dengan membayar pampasan yang berpatutan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai,” ujarnya.

Sebagai rekod, Kerajaan Sarawak menyerahkan Cek Pampasan bernilai RM 4,049,709.85 untuk membina projek Jalan Nanga Dap Bazaar/SMK Nanga dan Projek Pembangunan dibawah URDA iaitu Pakej 1: Pembinaan Jalan Ngungun/ Jagau, Kanowit Sibu.

Beliau menambah, rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan dan memberi kerjasama serta menyokong pelaksanaan kerja demi kebaikan pada masa depan.

“Hal ini kerana, Projek Pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah untuk memberi manfaat yang bermakna untuk rakyat,” ujarnya lagi.