KEMISKINAN, tidak lagi minat terhadap alam persekolahan selain mudah terdedah kepada teknologi terkini dikenal pasti sebagai sebahagian faktor yang membawa kepada perkahwinan bawah umur.

Ketentuan dan jodoh, mungkin menjadi salah satu pengikat yang mungkin tidak dapat dielakkan.

Sesungguhnya, tiada larangan untuk membina mahligai bahagia selagi cukup syarat dan mampu menunaikan tanggungjawab.

Bagaimanapun perlu juga diambil kira kemampuan tubuh dan kematangan pasangan itu untuk menghadapi dugaan dilalui pada masa depan.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Patricia Lim Su-Lyn, hamil pada usia muda ketika ini bagi remaja di bawah umur 18 tahun amat berisiko.

Biarpun hamil pada usia 18 dan 19 tahun, ia boleh dianggap selamat sekiranya remaja berkenaan mendapatkan nasihat doktor, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta matang menjalani rutin sebagai bakal ibu.

Sehubungan itu, bagi mengatasi perkahwinan bawah umur, perundangan perlu jelas dan diperketatkan demi melindungi hak kanak-kanak selain memberi kesedaran yang berterusan kepada setiap lapisan masyarakat.

Di Sarawak pula, perkahwinan tertakluk kepada tiga bidang kuasa perundangan iaitu sivil, syariah dan adat.

Dua daripada undang-undang tersebut iaitu sivil dan syariah menetapkan had umur minimum.

Pada masa sama, Kerajaan Sarawak tidak sewenang-wenangnya membenarkan perkahwinan bawah umur jika membabitkan remaja perempuan bawah umur 16 tahun.

Malah perkahwinan remaja perempuan bawah umur itu tidak akan dibenarkan kerana ia boleh dianggap sebagai kes rogol.

Bagaimanapun, dalam perkahwinan adat pula had minimum perkahwinan tidak wujud mengikut sistem berkenaan.

Ini kerana secara umumnya ketua kaum, ketua masyarakat di bawah Majlis Istiadat Negeri Sarawak bersetuju bahawa umur minimum boleh kahwin ialah 18 tahun.

Undang-undang sivil di Sarawak menetapkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun.

Namun jika terdapat kes pada situasi tertentu, misalnya remaja perempuan bawah umur 18 tahun hamil sebelum berkahwin, ibu bapa perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri menerusi Residen Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan berkahwin dengan pasangan.

Langkah Sarawak menyokong cadangan meminda undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun ialah bagi menangani masalah remaja berkahwin bawah umur.

Dalam pada itu, trend remaja hamil di Sarawak menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh lima tahun lalu.

Pada 2015, sebanyak 2,909 kes remaja hamil dicatatkan di Sarawak manakala 2,481 kes (2016), 2,130 kes (2017), 2,153 kes (2018) dan 1,967 kes (2019).

Bahagian Kapit merekodkan remaja hamil tertinggi iaitu 126 kes atau 8.9 peratus berdasarkan jumlah populasi.

Ia diikuti Bintulu dengan 259 kes atau 7.1 peratus, Miri (300 kes atau 5.8 peratus), Kuching (526 kes atau 5.5 peratus) dan Sibu (225 kes atau 5.4 peratus).

Perlu juga disedari bahawa perkahwinan pada usia terlalu muda mendatangkan kesan tertentu kepada remaja.

Golongan yang sepatutnya berada dalam alam persekolahan ini terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran kerana terikat dengan komitmen keluarga.

Selain itu, kehamilan pada usia yang terlalu muda bukan sahaja kurang sesuai untuk si ibu tetapi boleh menjejaskan bayi dalam kandungan.

Fizikal yang belum matang juga dikatakan boleh menyebabkan komplikasi semasa bersalin atau mungkin mengakibatkan kematian bayi.

Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perkahwinan pada usia terlalu muda juga boleh mendedah kepada risiko keganasan rumah tangga.