SAYA mendengar kisah ini daripada mulut seorang guru. Pendidik ini tidak mahu namanya dikenali.

Tapi cukuplah saya nyatakan namanya sebagai Cikgu Maria (bukan nama sebenar).

Beliau mengajar di sebuah sekolah luar bandar. Sekolahnya terletak hampir 40 kilometer dari bandar Sri Aman.

Cikgu Maria mengajar kelas Tahun Satu. Saya berkesempatan bertemu dengannya dan kami bertanya khabar, kebetulan memang rakan dalam bidang yang sama.

“Cikgu Emmet, saya nak kongsi satu cerita yang membuatkan saya insaf dengan kisah kehidupan masyarakat.

Kisah anak murid saya cikgu,” jelasnya pada saya.

Saya meminta beliau bercerita pada saya.

Kisahnya bermula daripada ziarah cakna. Cikgu Maria kebetulan menerima giliran untuk membuat ziarah cakna bersama-sama dua guru lagi di kawasan rumah panjang lebih kurang 25 kilometer dari sekolah.

Rumah yang dikunjungi ialah rumah seorang murid Iban Tahun 1 bernama Alycia (juga bukan nama sebenar).

Bagi memudahkan tunjuk arah ke rumah Alycia, Cikgu Maria menawar untuk membawa Alycia pulang dari asrama pada hari Jumaat.

Perjalanan ke rumah Alycia agak jauh dan melalui jalan tanah serta berbatu.

Kereta Cikgu Maria terus meredah jalan tanah merah yang kering. “Jauh lagi rumah kamu Alycia?,” tanya Cikgu Maria.

“Agi sigu…” jawab Alycia dalam dialek Ibannya. Sudah tiga rumah panjang dilalui tapi masih belum sampai ke destinasi.

Tidak lama kemudian sampailah mereka ke rumah kayu bertiang, di sebuah kawasan tanah lot.

Ternyata Alycia bukan tinggal di rumah panjang. Ada beberapa rumah lain di sekitar rumah Alycia.

Ibu Alycia menjemput Cikgu Maria dan rakan masuk.

Cikgu Maria membawa hamper untuk diberikan kepada keluarga Alycia.

Di sudut kanan rumah, ada katil dan terlantar seorang tua yang lemah.

“Itu datuk saya lah itu…,”kata Alycia dalam bahasa Melayu.

Ternyata ziarah cakna hari itu amat tepat dengan keadaan keluarga Alycia memang miskin dan menerima bantuan JKM.

Malah Alycia ada dua adik yang masih kecil. Bapanya bekerja buruh di Kuching.

Rumah mereka sekadar ada yang asas. Malah tiada televisen.

Namun Alycia, budak yang rajin walaupun masih merangkak membaca.

Selepas melawat cikgu Maria minta diri untuk pulang.

Tiba-tiba Alycia bertanya. “Siguuuu… Hari satu ila bisi urang berjual buku ba sekolah? “ (Cikgu hari Isnin nanti ada orang jual buku di sekolah?) kata Alycia sambil menunjuk sekeping kertas jualan buku yang akan dijual kedai buku dari Kuching di sekolah itu.

“Auk…bisi..” angguk Cikgu Maria menjawab pertanyaan Alycia. Mungkin sekadar bertanya sahaja fikir Cikgu Maria.

Pada hari Isnin, Cikgu Maria mengajar bahasa Melayu di kelas Alycia, tiba-tiba pengawas datang.

“Cikgu, sekarang giliran kelas Tahun 1 melihat pameran buku,” kata pengawas.

Cikgu Maria menyusun murid-murid berbaris, ada yang memegang borang berserta wang untuk membeli buku pilihan mereka.

Harga buku tidaklah mahal, cuma RM2 senaskah bagi buku cerita yang nipis.

“Sigu…berapa harga bukunya sigu..?tanya Alycia sambil membuka lipatan borang pameran buku. Sayu juga hati Cikgu Maria mendengar pertanyaan Alycia. “Kamu ada bawa duit ke? “ tanya Cikgu Maria.

“Ada gu… Tok duit aku gu..” kata Alycia sambil meletak kepingan syiling 10 sen, 20 sen dan beberapa syiling 5 sen.

Jumlah kesemuanya cuma 90 sen. Cikgu Maria mengalih pandangan ke tingkap.Menyembunyikan air mata yang bertakung.

“Ya Allah…begitu berusaha anak kecil yang miskin ini mengumpul duit untuk membeli buku,” getus hatinya sambil mengesat air matanya.

Cikgu Maria menoleh kembali pada Alycia. “Kamu nak buku yang mana? Nanti cikgu belikan untuk kamu ye…duit kamu tu kamu simpan.

Cikgu belanja kamu buku…Ok?,” kata Cikgu Maria sambil memegang kepala Alycia.

“Amat..gu…. Terima kasih guuu…” jerit Alycia. Sebelum waktu sekolah tamat.

Cikgu Maria bertemu penjual buku yang sedang menyusun buku untuk pulang.

Cikgu Maria membeli beberapa buku. Esoknya Cikgu Maria memanggil Alycia.

“Alycia… Ni buku kamu.. Kamu janji dengan cikgu kamu baca sampai habis ok?

“ “Sigu………..” Itu sahaja yang diluah oleh Alycia sambil memeluk buku-buku yang diberikan.

“Sigu……..Terima kasih guuuu” kata Alycia sambil berlari kegembiraan. Secara tidak sedar saya yang mendengar kisah Cikgu Maria rasa sebak.

Namun itulah hakikat kami yang mengajar di pedalaman dan luar bandar.

Pasti bertemu kisah anak yang penuh dengan inspirasi.

Lihatlah murid di sini, walaupun dalam kemiskinan mereka sanggup membayar demi sebuah buku kecil yang nipis asalkan ada sisa ilmu mengalir dalam diri.

Semoga Allah memberkati Cikgu Maria dan Alycia pula berjaya dalam hidup

Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.