LUNDU: Projek melabuh tukun tiruan dapat merealisasikan Daerah Lundu dan Sematan sebagai destinasi ekopelancongan utama di negeri ini.

Adun Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, projek berkenaan juga membantu memperkasa dan mempromosi sektor hasil laut di Tanjung Datu.

Menurutnya, kawasan Tanjung Datu mempunyai potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan utama di Sarawak.

“Kawasan Tanjung Datu ini, dari sudut ekopelancongan mempunyai potensi yang cukup besar dengan adanya beberapa taman negara di bawah seliaan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

“Antaranya ialah Taman Negara Tanjung Datu dan Taman Negara Talang Satang yang boleh diakses menggunakan bot melalui jeti Sematan.

“Bagaimanpun ia kini dalam proses naik taraf, dijangka siap pada Februari tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membantu membangunkan ekopelancongan di kawasan ini.

“Antara projek yang kita telah mohon ialah Pusat Khidmat Pelanggan di Lundu Sematan.

“Kita tahu tempat ini akan menjadi tumpuan pengunjung, jadi kita mesti ada pusat khidmat pelanggan di sini,” katanya.