SEMATAN: Penanaman tukun tiruan di sepanjang perairan Sarawak dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas bukan sahaja akan memulihkan ekosistem dan hidupan marin tetapi juga memberi hasil tangkapan ikan yang banyak kepada nelayan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini memberi manfaat yang sangat besar bukan sahaja kepada alam semula jadi tetapi juga komuniti nelayan, walaupun ia menelan kos yang sangat besar iaitu RM70 juta.

“Manfaat tukun tiruan membolehkan ikan membiak, menghasilkan tumbuhan di laut dan memberikan hasil makanan daripada lautan kita.

“Hasil daripada yang kita buat di perairan Mukah dan Belawai, pendapatan nelayan yang dahulu RM100 sehari kini meningkat kepada RM300 sehari kerana ikan bertambah malah kaki pancing juga ramai datang ke Mukah dan Belawai.

“Begitu juga di Kuala Lawas, seorang ketua kaum di Kampung Punang dapat menangkap tiga tan ikan.

“Sebab itulah kita turunkan tukun tiruan untuk menambah hasil nelayan di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan SampadiTanjung Datu di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) Oswald Braken Tisen.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata penanaman tukun tiruan di perairan Sampadi-Tanjung Datu juga akan memberi impak kepada hasil laut di kawasan Sematan, Lundu dan Telok Melano.

Katanya, selain menambah hasil tangkapan nelayan, ia juga boleh menjadikan kawasan ini sebagai tempat memancing sekali gus menarik kehadiran pemancing tempatan dan luar negara seperti dari Singapura dan Indonesia.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan di kawasan yang semakin membangun, menerusi lebuh raya Pan Borneo dan Jambatan Rambungan yang kini sedang rancak dibina.

“Ini adalah pintu masuk pelancongan, jadi saya nampak masa depan Lundu, Sematan dan Telok Melano sangat cerah dari sudut pelancongan dan saya percaya kawasan ini akan terus membangun,” katanya.