KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama Grab Malaysia (Grab) melancarkan program e-pembelajaran bagi pemandu e-hailing, semalam.

Program tersebut menyasarkan 1,000 pemandu Grab dengan objektif menjadikan mereka sebagai Duta Besar Pelancongan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak negeri pertama di Malaysia yang muncul dengan modul kesedaran pelancongan untuk pemandu e-hailing bersama Akademi Grab.

“Ini langkah yang amat tepat bagi STB dengan menjalinkan pendekatan unik dengan Grab Malaysia supaya mampu menyediakan modul produk pelancongan di Akademi Grab.

“Program eksklusif untuk pemandu e-hailing ini yang bertujuan untuk menyediakan pengetahuan tambahan berkaitan dengan pelancongan dan Kerajaan Sarawak menawarkan mereka menjadi duta besar negeri ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee yang merasmikan majlis pelancaran di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Abdul Karim, pemandu menjadi orang pertama yang bertemu dengan pelancong dan ketika menghabiskan masa menerangkan mengenai destinasi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Justeru, amat penting untuk mereka mempunyai pengetahuan yang jelas mengenai laluan utama, tarikan dan destinasi,” ujarnya.

Abdul Karim turut menyarankan agar pemandu Grab mengambil peluang tersebut berbekalkan pengetahuan mereka termasuk membantu mempromosikan dan menarik pengunjung dengan khazanah yang ada di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah STB Sharzede Salleh Askor berkata, inisiatif bersama Akademi Grab sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dan STB memperkukuhkan landasan dalam keadaan sekarang selepas penularan Covid-19.

“Kami memperluaskan konsep duta ini dalam kalangan pemandu Grab dengan harapan dapat memperkayakan pengetahuan mereka tentang Sarawak.

“Termasuk meminta mereka menjadi duta kepada pelanggan mereka,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan, STB akan terus memberikan penekanan untuk meningkatkan pengalaman dalam kalangan pengunjung.

“Dengan pelancaran program ini pada hari ini (semalam), kami berharap dapat meningkatkan perkhidmatan pelancongan untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua pelancong,” katanya.

Sharzede memberitahu mereka berharap, perkara ini akan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pilihan pelancongan yang kompetitif dan diiktiraf di seluruh dunia.

Di bawah program ini, Grab Malaysia akan menghubungi pangkalan data sekitar 4,000 hingga 5,000 pemandu e-hailing yang berpusat di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri untuk penyertaan dalam latihan e-pembelajaran.

Modul yang tersedia dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Mandarin merangkumi maklumat mengenai Sarawak, budaya dan warisan serta destinasi pelancongan.

Pemandu Grab yang terlibat akan mempunyai akses ke Grab Malaysia’s Axonify atau platform e-pembelajaran di bawah Akademi Grab untuk menyediakan pembelajaran dalam talian ini.

Modul e-pembelajaran akan dibimbing oleh Akademi Hospitaliti & Pelancongan Saujana Sdn. Bhd. atau SATT College untuk meliputi wilayah selatan, tengah dan utara Sarawak.