KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menyerahkan 479 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada pemilik di Sungai Majau, Baleh pada 23 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, tanah itu diserahkan selepas pihak tersebut menyelesaikan kerja-kerja mengukur di bawah Seksyen 6.

“Ia juga membuktikan kepada masyarakat asal bahawa tidak ada yang perlu ditakuti tentang dakwaan berhubung rampasan tanah daripada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tambahnya, walaupun dalam keadaan sukar ketika menjalankan kerja mengukur Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menjalankan tugas dengan baik daripada Seksyen 6 ke Seksyen 18 dalam tempoh dua tahun.

“Ketika menyaksikan pemilik tanah mendapat surat hak milik tanah mereka yang berada di tengah-tengah kawasan saya, saya hampir menangis.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk melihat Seksyen 18 dapat diproses di tengah-tengah hutan dalam jangka masa tersebut dan rakyat saya mendapat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 tersebut,” ujarnya.

Masing memberitahu, beliau sangat gembira sekiranya Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dapat memproses Seksyen 6 di kawasannya.

“Ini akan melindungi NCR dan Pemakai Menoa (PM) daripada diceroboh oleh orang luar.

Pada masa yang sama membolehkan individu pemilik tanah mengusahakan kawasan mereka,” ujarnya.

Beliau menegaskan, penjualan tanah di bawah Seksyen 6 hanya akan berlaku sekiranya mendapat persetujuan daripada semua pemilik dalam komuniti dan ia sesuatu yang mustahil.

“Justeru, pemilik tanah NCR tidak akan menghadapi kehilangan tanah pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, di bawah Seksyen 18 ia boleh berlaku kerana pemilik tanah individu yang mempunyai hak milik tanah di bawah seksyen ini, boleh menjual tanah mereka kepada mana-mana pembeli.

Ia kes penjual dan pembeli yang rela,” katanya.

Beliau menjelaskan, hak milik tanah di bawah Seksyen 18 adalah seperti memberi wang tunai kepada pemilik tanah NCR.

“Secara peribadi, saya lebih suka tanah NCR diukur di bawah Seksyen 6 sahaja, sehingga kita mengajar mereka kemahiran untuk menjadikan tanah itu produktif,” jelasnya lagi.