KUCHING: Seramai 14 individu ditangkap dalam serbuan ke atas pusat panggilan perjudian dalam talian yang menggunakan sebuah rumah di Winsor Estate, Batu 4 di sini.

Ketua JSJ Sarawak SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata serbuan dijalankan oleh pasukan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak sekitar jam 2.45 petang hari ini.

“Pasukan serbuan berjaya menangkap lapan lelaki dan empat wanita warga asing termasuk dua lelaki tempatan berusia 20 hingga 29 tahun.

“Turut dirampas 10 komputer, lima modem dan 12 telefon bimbit yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegiatan itu telah beroperasi hampir setahun dan meraih pendapatan sebanyak RM300,000 sebulan.

Dennis berkata kesemua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta rumah Judi Terbuka 1953.

Sebuah rumah di Winsor Estate, Batu 4 di sini yang dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian.