BINTULU: Anggaran 160 peserta terdiri daripada ahli pertubuhan keagamaan (Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Baha’i dan Tao),ketua masyarakat dan ketua kaum serta penjawat awam menghadiri Forum Integriti dari Perspektif Pelbagai Agama bertempat di Hotel Promenade, di sini, hari ini.

Forum anjuran bersama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri(UNION) Unit Hal-Ehwal Agama-Agama Lain(UNIFOR) dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu ini merupakan julung kali diadakan di Bahagian Bintulu.

Penganjuran forum sehari ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama antara agama dalam usaha menangani isu-isu berkaitan integriti, selain menggalakkan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti.

Di samping itu, ia juga bertujuan sebagai penyumbang terhadap usaha mengukuh asas moral dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Penutupan forum akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip pada sebelah petang.

Forum bertemakan ‘Perpaduan Dengan Integriti’ ini dimulai dengan pengenalan kepada UNIFOR yang disampaikan sendiri oleh Pengarah UNIFOR, Richard Lon, diikuti dengan slot Pengurusan Kewangan oleh Yeo Wee Kiak Pegawai dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan sesi ceramah ketiga dengan tajuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 649 oleh Penolong Penguasa SPRM Bahagian Bintulu, Jawa anak Milu.