KUCHING: Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) pertama di Sarawak yang beroperasi sebulan lalu telah membawa harapan baharu kepada kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.

Terletak di Metro City, Jalan Matang di sini, pusat berkenaan adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Petronas dan akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Okt.

Pusat ini merupakan antara beberapa projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama Petronas di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata projek itu menerima pembiayaan awal sebanyak RM4 juta daripada Petronas dan selebihnya dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Objektif OSEIC adalah untuk menyediakan perkhidmatan diagnosis, pemulihan dan intervensi di bawah satu bumbung untuk kanak-kanak autisme, sindrom down dan masalah pembelajaran berusia bawah tujuh tahun,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, di sini.

Menurut Fatimah, walaupun terdapat Pusat Agape di bawah Persatuan Perkhidmatan Komuniti Sibu, yang menempatkan lima organisasi berbeza yang menjalankan perkhidmatan, pengurusan dan sokongan kewangan, OSEIC adalah pusat pertama di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan di bawah satu bumbung dan dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu PIBAKAT.

“Semasa kami melawat Genius Kurnia di Kuala Lumpur, kami bertemu dengan beberapa ibu bapa yang mempunyai anak autisme dari Sarawak yang terpaksa pindah ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti program intervensi.

“Salah seorang ibu yang ditemui terpaksa berhenti kerja di Miri hanya untuk memastikan dia dan suaminya dapat tinggal di Kuala Lumpur dan menghantar anak mereka ke Genius Kurnia,” katanya, sambil menambah bahawa dengan penubuhan pusat tersebut di Sarawak, ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini tidak perlu risau untuk ke Kuala Lumpur, berbelanja lebih atau berhenti kerja untuk menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti program intervensi.

“Perkhidmatan itu kini terdapat di Kuching dengan bayaran yang berpatutan dan untuk permulaan, 40 kanak-kanak daripada 40 buah keluarga telah mendaftar dengan OSEIC. Kami mengharapkan lebih ramai akan mendaftar dan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan di pusat ini,” katanya.

Mengenai projek prasekolah komuniti Penan, Fatimah berkata kelima-lima prasekolah itu telah beroperasi sejak setahun lalu dengan pembiayaan awal sebanyak RM2.75 juta daripada Petronas.

Menurut beliau terdapat 10 orang guru terlatih serta 42 kanak-kanak di semua prasekolah tersebut.

Menurut Fatimah, kementerian itu telah bekerjsama dengan Petronas sejak 2015 dan dimulakan dengan Tadika Komuniti Penan daerah Baram di Long Leng, Long Kawa, Long Kerangan, Long Jenalong dan Ba’ Selulong, dengan objektif untuk menyediakan akses, kesaksamaan dan pendidikan prasekolah yang berkualiti untuk anak-anak masyarakat Penan di kawasan pedalaman.

“Ini adalah pelaburan yang kami telah buat untuk anak-anak ini. Hasilnya tidak dapat dilihat dengan segera tetapi kami berharap dapat melihat anak-anak ini berjaya dalam pendidikan dan kehidupan mereka, dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dan Sarawak,” katanya, sambil menambah bahawa lebih ramai ibu bapa masyarakat Penan kini sedar mengenai kepentingan pendidikan untuk anak-anak mereka.

Sementara itu, Fatimah berkata peratusan murid tahun satu di sekolah rendah yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak adalah 97.74 peratus atau 40,025 daripada 40,949 murid yang mendaftar pada tahun 2019 dan 97.20 peratus atau 37,190 daripada 38,262 murid yang mendaftar tahun ini.