KAJIAN terbaharu mendedahkan bayi yang menggunakan susu botol mungkin menelan lebih sejuta kepingan mikroplastik pada setiap hari.

Apakah mikroplastik? Ia diklasifikasi plastik bersaiz mikro dengan diameter berukuran kurang daripada 5 milimeter.

Berdasarkan kajian itu, penyelidik di Ireland meneliti kadar pelepasan mikroplastik dalam 10 jenis botol susu bayi atau aksesori yang diperbuat daripada polipropilen.

Polipropilen merupakan jenis plastik yang biasa digunakan untuk menghasilkan bekas makanan.

Menerusi ujian yang dilakukan selama 21 hari itu, pasukan penyelidik itu mendapati botol susu bayi berupaya melepaskan antara 1.3 dan 16.2 juta mikro partikel plastik untuk setiap liter.

Dalam tempoh tersebut, penyelidik menggunakan data itu untuk mengganggarkan potensi bayi di seluruh dunia yang terdedah dengan mikroplastik menerusi penyusuan botol dengan meneliti kadar purata penyusuan susu badan ibu.

Menurut mereka, secara puratanya bayi yang meminum daripada botol susu ini menelan kira-kira 1.6 juta mikro partikel plastik setiap hari sepanjang tempoh 12 bulan pertama dalam hidup mereka.

Laporan kajian yang dikeluarkan menerusi jurnal Nature Food turut mendakwa kaedah pembersihan kuman dan pendedahan kepada suhu air yang tinggi akan memberi kesan lebih tinggi kepada pelepasan mikroplastik.

Data itu turut mendedahkan sejumlah 0.6 juta partikel mikro plastik dilepaskan bagi setiap liter air pada suhu 25 Celcius manakala 55 juta seliter pada suhu 95 Celsius.

Kajian itu juga mendapati bayi di negara maju kemungkinan menelan lebih banyak plastik berbanding negara membangun, iaitu 2.3 juta partikel sehari di Amerika Utara dan 2.6 juta di Eropah.

Hal ini kerana kadar penyusuan susu badan ibu agak rendah di negara-negara kaya kerana kebanyakannya memberikan susu formula kepada anak mereka.

Pendedahan ini sudah pasti mengecewakan ibu yang tidak dapat menyusukan bayi serta mereka yang bekerja kerana terpaksa memberikan susu ibu atau formula menerusi botol.

Tetapi penyelidik berpendapat, matlamat kajian mereka itu bukan untuk meningkatkan kebimbangan ibu bapa tetapi memberi kesedaran terhadap potensi risiko botol mikroplastik kepada kesihatan.

Pasukan penyelidik itu turut menawarkan langkah-langkah untuk mengurangkan kadar pelepasan mikroplastik terbabit.

Mereka mencadangkan beberapa langkah tambahan bagi mengurangkan kadar pelepasan mikroplastik termasuk membilas botol susu menggunakan air sejuk.

Selain itu, penyelidik mencadangkan supaya penyediaan susu formula harus menggunakan bekas yang bukan diperbuat daripada plastik sebelum diisikan ke dalam botol susu.

Isu mikroplastik dalam makanan sebenarnya bukan satu isu baharu.

Sebelum ini beberapa kajian juga mendedahkan pencemaran mikroplastik turut dikesan memasuki sistem rantaian makanan melalui ikan termasuk di Malaysia.

Contohnya kajian yang dilakukan oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah di persekitaran pantai Santubong dan Trombol, Sarawak.

Penyelidik ini menemui komposisi polimer plastik polipropilena dan polietilena yang merupakan jenis mikroplastik paling kerap ditemui.

Sementara, kumpulan penyelidik Universiti Malaya juga merekodkan kemunculan plastik jenis polisterin di dalam sampel lumpur yang dikaji di persekitaran hutan paya bakau.

Justeru, penemuan mikroplastik di persekitaran akuatik dan daratan Malaysia secara langsung memberi gambaran ekosistem kita juga sedang diancam oleh masalah global ini.