BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) tetap komited dalam memberikan sokongan kepada pusat kesihatan di seluruh negeri ini memerangi serta memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Ini terbukti apabila syarikat terbabit turut menyumbang peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan(NKF) Persatuan Buah Pinggang Sarawak(KAS) Rotary, semalam.

Simbolik penyerahan sumbangan disampaikan Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh mewakili
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato
Mohammad Medan Abdullah kepada pengurus pusat dialisis berkenaan, Reylene Ursula Dieter.

Antara yang disumbangkan ialah masing-masing 350 helai gaun pengasingan dan apron isolasi biru dengan cangkuk, 1,000 helai topi jururawat, 100 helai tudung untuk muslim, 300 helai pelindung muka, 100 kotak pelitup muka perubatan-gelung telinga serta 200 kotak sarung tangan getah bebas serbuk bersaiz L.

Usaha ini sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan yang menggalakkan pelbagai pihak menyumbang PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tugas harian mereka sekali gus membantu mencegah penyebaran virus Covid-19 serta melindungi kakitangan kesihatan daripada jangkitan.

Dalam ucapan ringkasnya, Maslihah merakamkan penghargaan dan terima kasih
kepada organisasi yang komited membantu terutamanya terhadap petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan yang memain peranan dan tanggungjawab mereka tanpa henti dalam merawat pesakit sementara negara masih memerangi wabak Covid-19.

“Kami memahami bahawa sehingga berakhirnya perang ke atas pandemik, PPE akan menjadi keperluan tetap petugas perubatan dan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kita mesti dan akan melakukan semua yang termampu untuk melindungi pahlawan negara ini sepanjang perjuangan kita melawan virus yang membawa maut ini,” ujarnya.

Menurutnya, pada Jun tahun (2020), BPHB telah menyumbangkan 2,000 set PPE bernilai RM200,000 kepada empat hospital besar di Sarawak iaitu Hospital Bintulu, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching.

BPHB akan terus memain peranannya untuk membantu rakyat Malaysia pada masa ini sekali gus meminta semua orang untuk mengamalkan kebersihan diri serta prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh KKM dalam usaha membendung dan memutuskan rantaian pendemiik Covid-19, tambahnya lagi.

Sementara itu, Reylene turut mengucapkan terima kasih kepada BPHB atas sokongan dan keprihatinan syarikat itu yang secara berterusan membantu pelbagai keperluan organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Sarawak.