KUCHING: Pihak pengurusan Fauziah Cafe di Metro City di sini akan mengambil tindakan terhadap berita tular yang mendakwa kafe berkenaan dijangkiti Covid-19.

Jurucakap pengurusan kafe berkata, pihaknya juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu berkenaan.

“Perbuatan menyebar berita tidak benar berhubung Covid-19 merupakan fitnah yang serius.

Selain daripada berita palsu, ia mencalar integriti kafe kami yang sentiasa mengutamakan kesihatan pelanggan.

*Tindakan seterusnya akan diambil berdasar undang-undang. Kami tidak mahu berita palsu ini membuat pelanggan kami takut untuk berkunjung ke Metro City secara keseluruhannya,” katanya kepada Suara Sarawak sebentar tadi.

Kafe Fauziah terletak di jantung kawasan pesat Metro City yang menyediakan puluhan menu kampung termasuk makanan barat.

Ia dibuka dari pagi sehingga tengah malam setiap hari malah menjadi tumpuan orang ramai dan kakitangan dari pejabat di sekitarnya.

Semalam tersebar berita yang tular mengenai jangkitan Covid-19 di Kafe Fauziah dan mengaitkannya dengan saringan beramai-ramai di pusat komersial Gala City Jalan Song.

Sambil menggesa pelanggan dan nitizen bersikap profesìonal katanya, jika benar apa yang ditular itu berlaku, pengurusan terlebih dahulu merujuk ia kepada Kementerian Kesihatan tanpa bertangguh

“Sekali saya meyakinkan pelanggan kami, keutamaan adalah pelanggan kami. Jadi, tidak usah bimbang dengan berita palsu itu. Ia tidak benar sama sekali, ” katanya.