KUCHING: Jasa dan kecekalan pasukan barisan hadapan dalam mengatasi pandemik Covid-19 tidak akan dilupakan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, usaha gigih petugas barisan hadapan dalam mendepani penularan Covid-19 wajar dipuji dan dihargai.

“Kita berasa terharu dengan kecekalan pasukan barisan hadapan yang melupakan kepentingan diri sendiri dan melupakan keutamaan untuk bersama-sama keluarga.

“Bahkan mereka bertugas dengan penuh dedikasi demi melindungi masyarakat keseluruhannya daripada dijangkiti wabak yang mengancam nyawa,” ujarnya ketika menghadiri Muzikal Sarawak Harmoni baru-baru ini.

Foto RAMIDI SUBARI

Beliau turut menghargai segala pengorbanan semua petugas barisan hadapan di Sarawak khasnya.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan hadapan terdiri daripada pasukan perubatan, pasukan keselamatan iaitu polis, tentera, pertahanan awam dan banyak lagi atas pengorbanan mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi.

“Petugas ini memberi komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas untuk memastikan keselamatan dam kesihatan penduduk terjaga sejak awal ancaman penularan wabak Covid-19.

“Tidak dilupakan juga jasa dan pengorbanan khidmat penghantar makanan seperti Grab Food, Food Panda, Lyfe atau penghantar persendirian,” jelasnya.

Sementara itu, persembahan muzikal khas yang berkisar tentang situasi pandemik diadakan sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan.

Persembahan muzikal Sarawak harmoni, pemimpin berjiwa rakyat Hati ke Hati dan penampilan khas daripada Simfoni Okestra Negeri Sarawak (Sons) memaparkan usaha Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dari segi bantuan yang diberikan semasa pandemik Covid-19.