KUCHING: Peminat rancangan makanan, jangan ketinggalan untuk menyaksikan program Sarawak Nutritious yang bersiaran di TVS setiap Selasa dan Rabu pada jam 10.45 pagi.

Program yang dihoskan Dr. Abdul Riezal Dim itu akan meneroka makanan tradisional Sarawak daripada perspektif chef tempatan, penggemar pemakanan dan nutrisi makanan.

Program itu diperkenalkan kerana makanan merupakan salah satu identiti budaya mewakili pelbagai etnik di Sarawak.

Keunikan negeri ini bergantung kepada etniknya kerana setiap kaum di Sarawak mempunyai gaya hidup, tradisi, budaya dan makanannya tersendiri.

Kebiasanya, program TV makanan akan memaparkan rupa dan rasa makanan tetapi tidak bagi rancangan ini.

Keunikannya digambar dari sudut sains yang berkaitan dengan nutrisi dan pemakanan, terutamanya untuk makanan harian masyarakat Sarawak.

Program ini menerokai proses menyediakan atau mendapatkan makanan etnik Sarawak yang diperlukan untuk kesihatan.

Pengacaranya akan menggambarkan bagaimana makanan dan nutrisinya mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat.