SEMATAN: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa ahli-ahli politik negara ini supaya mengetepikan perebutan kuasa dan menumpukan usaha memerangi Covid-19.

Menurutnya, setiap ahli poltik sewajarnya mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

“Harapan saya kepada mereka yang gila kuasa pada masa ini dan hendak mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri supaya mengetepikannya dulu kerana kita sedang menghadapi masalah yang sangat besar iaitu Covid-19.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk membuang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersyukur kerana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan darurat.

Katanya, keputusan itu adalah amat wajar kerana keadaan Covid-19 yang dilalui sekarang ini tidak mencukupi untuk melaksanakan darurat.

“Kita bukan menghadapi bencana, tidak ada gempa bumi atau kerosakan teruk dalam sistem untuk darurat dilaksanakan.

“Kita tahu memang Covid-19 membahayakan tetapi ini melanda hampir seluruh dunia dan walaupun pandemik ini meningkat dalam negara, tetapi kalau diperhalusi banyak kes ini adalah ekoran daripada apa yang berlaku di Sabah iaitu jangkitan yang dibawa oleh pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Kalau di Semenanjung, banyak kes bersangkut paut dengan penjara,” katanya.