SEMATAN: Cara pemuliharaan penyu di Talang Satang di sini adalah antara yang terbaik dan sukar ditandingi, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, kaedah pembiakan telur penyu yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di pulau itu sangat sistematik sehingga mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah populasi penyu.

“Saya sudah pergi ke tempat-tempat lain yang ada penyu, susah hendak lawan cara kita menjaga penyu di Talang Satang. “Sangat sistematik, sebab itulah kita lihat kehidupan penyu di sini bebas dengan begitu baik,” katanya.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto Ghazali Bujang

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Sampadi-Tanjung Datu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, pada Isnin.

Karim menambah berbanding di tempat lain, kehidupan penyu masih terancam apabila ia ditangkap untuk dimakan. “Kalau di tempat lain, mereka masih makan bukan sahaja penyu bahkan telur penyu tetapi di sini, ia sudah tidak berlaku dan terkawal.

“Kesedaran masyarakat kita terhadap larangan memakan telur penyu sangat bagus dan SFC telah melakukan tugas dengan sangat baik dalam perkara ini,” katanya.

Justeru, beliau yakin Talang Satang akan menjadi salah satu daripada tarikan pelancongan di Tanjung Datu sebaik kemudahan di kawasan ini lengkap dalam beberapa tahun lagi.

“Selain melihat penyu, pelawat juga boleh menyelam dan memancing di kawasan Tanjung Datu ini kerana ia mempunyai laut yang cukup menarik,” katanya.