SERIAN: Hope Place Kuching terus komited membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan kesan Covid-19 kini.

Menurut kenyataan semalam, pasukan Hope Place membantu Ah Fong berusia 38 tahun yang juga merupakan seorang ibu tunggal dari Kampung Labak Tapan di sini.

“Ah Fong kehilangan pekerjaan beberapa bulan lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ibu kepada dua anak berusia lima dan lapan tahun itu juga berusaha keras untuk memenuhi keperluan keluarga,” katanya.

Kenyataan itu mendedahkan, wanita kacukan Cina dan Bidayuh itu juga tinggal bersama-sama abangnya yang mengalami cacat fizikal.

“Dahulu dia bekerja, namun ekoran menganggur.

Bagaimanapun, Ah Fong bersyukur kerana dia dan abangnya diberikan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Abangnya menerima RM250 sementara Ah Fong menerima RM100 setiap bulan,” ujar kenyataan itu.

Dalam hal berkaitan, pasukan Hope Place menghantar bantuan makanan ke rumah Ah Fong mendapati laluan ke rumahnya agak mencabar.

Malah pasukan itu berjalan lebih 10 minit di dalam hutan termasuk menyeberangi jambatan buluh yang sangat sempit.

“Keluarga ini tidak mempunyai bekalan air dan mereka biasanya mengumpulkan air hujan untuk digunakan.

“Ah Fong dan anak-anaknya juga akan mandi di sungai berdekatan.

“Hope Place memberikan makanan asas kepada keluarga ini setiap tiga bulan sekali,” jelasnya.

Untuk maklumat lebih lanjut, Persatuan Kebajikan Harapan Kuching boleh dihubungi di talian 082-505987.

Waktu operasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat dan 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari Sabtu.