SHAH ALAM: Jabatan Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi sepenuhnya bagi mengekang sebarang penularan wabak COVID-19 di empat penjara di negeri itu.

Pengarahnya Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata setakat ini, hanya satu kes positif COVID-19 direkodkan di Penjara Wanita Kajang namun jangkitan tidak menular kepada banduan dan kakitangan lain di institusi berkenaan.

“Disebabkan itu kita amat menitikberatkan pematuhan SOP. Ini saja kaedah untuk mengelakkan penghuni dan kakitangan di empat penjara di negeri ini terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

“Satu kes positif itu juga telah diambil tindakan segera. Semua banduan serta kakitangan penjara telah menjalani ujian saringan dan mereka bebas COVID-19 ,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peralatan perlindungan diri (PPE) oleh kerajaan negeri Selangor kepada jabatan itu di sini, hari ini.

Tambah Mohd Sakeri, disebabkan buat masa ini ada kawasan di Kajang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, sebarang pergerakan keluar masuk Penjara Wanita dan Penjara Kajang termasuk kunjungan daripada keluarga atau peguam tidak dibenarkan kecuali pihak pembersihan serta pembekal makanan.

Mengulas mengenai tatacara kemasukan banduan baharu, beliau berkata setiap daripada mereka akan menjalani ujian swab dan diasingkan di bilik lain terlebih dahulu bagi memastikan individu berkenaan bebas COVID-19 sebelum ditempatkan di penjara masing-masing.

Empat penjara di Selangor ialah Penjara Wanita Kajang, Penjara Kajang, Penjara Sungai Buloh dan Pusat Koreksional Puncak Alam yang menempatkan keseluruhan 12,000 banduan.