PADAWAN: Negara akan membangun dengan maju dengan adanya pemimpin dan rakyat yang berintegriti, bersikap jujur dan amanah. Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talip Zulpilip berkata, Sarawak amat bertuah kerana memiliki pemimpin-pemimpin yang berintegriti.

Menurutnya, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang menjadi Ketua Menteri ketika itu bersama-bersama barisan Kabinet telah menandatangani ikrar integriti.

Datuk Talip Zulpilip. Foto Ramidi Subari

Oleh itu, kata Talip, Sarawak menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang menandatangani ikrar integriti.

Tambahnya, langkah tersebut turut diikuti oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg setelah dua minggu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

“Beliau bersama-sama barisan Kabinet Sarawak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), lebih awal daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan untuk bermegah, namun kita harus berbangga dan bersyukur bahawa kepemimpinan kita orang yang jujur dan amanah.

“Saya yakin adanya pemimpin yang jujur dan amanah, Sarawak akan ditadbir dengan baik,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada perasmian penutupan Program Jelajah Integriti Siri 5/2020: Pemimpin Bersama Masyarakat Daerah Padawan di Dewan Kampung Bratan, pada Selasa.

Tambah Talip, Ketua Menteri amat menitikberatkan program jelajah integriti tersebut dan mahu program ini diteruskan di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, beliau meng- gesa pemimpin setempat dan pegawai perkhidmatan awam untuk mencontohi teladan pemimpin yang berintegriti, jujur dan amanah.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil yang juga Adun Mambong, Pegawai Daerah Kuching, Awang Yusup Awang Mostapha dan ketua kaum dan ketua masyarakat dari Padawan.