KUALA LUMPUR: Petronas semalam menyatakan siasatan mengenai insiden melibatkan sebuah kapal yang terlanggar struktur platform Minyak Baram, 14 batu nautika dari Miri pada 6.23 pagi tadi sedang dijalankan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan semalam menyatakan kesemua pihak berkuasa berkaitan telahpun dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Keutamaan kami ialah keselamatan kesemua anak kapal terlibat. Pada masa yang sama, kami akan memastikan bekalan gas mencukupi kepada pengguna jika berlaku sebarang gangguan dalam bekalan gas.

“Petronas amat sedih terhadap insiden yang berlaku dan kami ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka yang maut,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kapal MV Dayang Topaz, dimiliki DESB Marine Services sedang melakukan kerja-kerja operasi di platform Minyak Baram untuk Petronas Carigali Sdn Bhd, apabila ia melanggar platform tersebut selepas kabel sauhnya terputus dalam keadaan cuaca buruk.

Kenyataan itu turut menyatakan terdapat 187 anak kapal berada di atas kapal MV Dayang Topaz pada masa tersebut, dan akibat insiden itu 125 daripadanya telah terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

Anak kapal tersebut kemudiannya telah diselamatkan dan dibawa ke Miri.– BERNAMA