KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan untuk menutup semua pusat hiburan dan pusat refleksologi termasuk karaoke dan kelab malam di seluruh Sarawak buat sementara waktu, mulai semalam.

Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah berkata langkah itu adalah untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini.

“Hari ini (semalam), terdapat empat kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching, Kluster Putra di Daerah Bintulu, Kluster Baki dan Kluster Seladah.

“Tiga daripada kluster ini tidak menunjukkan sebarang penambahan kes positif Covid19 berbeza dengan Kluster Baki yang mencatat 12 kes baharu positif.

“Ini menjadikan jumlah kes positif melibatkan kluster ini meningkat kepada 25 orang, termasuk kes indeks,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media laporan harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama, di sini semalam.

Menurut Uggah, setakat ini terdapat empat kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital yang melibatkan dua kes dari Hospital Umum Sarawak dan dua Hospital Miri yang menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj 736 orang atau 89.87 peratus.

Manakala, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital ialah 64 orang iaitu 63 kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak dan satu kes di Hospital Miri.

“Turut tiada kes ialah di Unit Rawatan Rapi (ICU), diikuti tiada kematian baharu. Ini menjadikan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.32 peratus.

“Bagi kes individu di bawah siasatan (PUI), Sarawak mencatat 20 kes baharu, tiga daripadanya masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya lagi.

Uggah turut menjelaskan aktiviti pengesanan secara aktif (ACD) turut giat dijalankan di kawasan 101 Kuching dan pusat perniagaan Galacity.

Justeru, beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada, di samping sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan.