KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan untuk menutup 209 institusi pendidikan di Kuching susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah ini.

Menurut KPM dalam satu kenyataan media hari ini, penutupan sekolah berkenaan berkuat kuasa pada 30 Oktober sehingga 13 November selepas Kuching disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata KPM, institusi pendidikan yang ditutup itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta berdaftar dengan KPM.

Malah, sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga ditutup.

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” jelasnya.

Tegas KPM lagi, keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan.

“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka perlu mendapatkan surat daripada sekolah masing- masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” ujarnya.

Katanya lagi, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Tambahnya, ia selaras dengan perutusan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan- kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM, KPM.