KUCHING: Peningkatan kes positif Covid-19 di Green Hill turut membimbangkan selepas pengesanan kes aktif (ACD) dilakukan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, Green Hill semalam merekodkan 20 kes positif Covid-19.

“Mereka yang tinggal di Green Hill, penduduknya berselerak di ibu bandar juga.

“Namun, ramai antara mereka tampil membuat ujian saringan atas inisiatif sendiri di klinik swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bilik operasi yang ditubuhkan di pekarangan Masjid Kampung Haji Baki di sini hari ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tambah Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pihaknya membuat keputusan untuk menutup operasi pusat hiburan seperti bar, pub dan gimnasium.

“Malah, kita melarang sebarang perkumpulan atau pertemuan lebih daripada 200 orang.

“Semua restoran dan kedai makan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam,” jelasnya.

Katanya, keputusan itu diambil ekoran peningkatan kes positif Covid-19 yang membimbangkan.

LAWAT … Kelihatan pengendali bilik operasi ACD Dr Majorie Ensayan memberi takilmat kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Sim Kui Hian di Kampung Haji Baki hari ini.