KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini membuat keputusan untuk menutup pusat tuisyen, tadika dan taska di daerah Kuching berkuat kuasa pada 30 Oktober hingga 13 November depan.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat selepas daerah Kuching diisytiharkan sebagai zon merah.

“Malah, institusi pendidikan di daerah Kuching turut ditutup bermula pada 30 Oktober hingga 13 November.

“Ini melibatkan sebanyak 209 institusi pendidikan di seluruh daerah Kuching yang merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta berdaftar dengan KPM,” katanya pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri memohon agar rakyat Sarawak sedar dan dan mengambil maklum mengenai jumlah kes positif semakin meningkat.

“Semua rakyat Sarawak mesti memainkan peranan masing-masing untuk menentukan penularan Covid-19 dapat diputuskan seperti yang telah kita capai sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita masih melihat ada sekumpulan kecil rakyat Sarawak masih leka untuk tidak mematuhi SOP yang telah diarahkan,” jelasnya.

Tegasnya, pihak penguat kuasa telah diarahkan untuk mengambil tindakan yang tegas kepada individu melanggar peraturan.

“Semua ini dilakukan demi kepentingan rakyat Sarawak dengan matlamat untuk memutuskan rantaian Covid-19 secepat mungkin supaya kita dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa.

“Sekarang daerah Kuching berstatus merah dan orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan pergerakan bagi mengurangkan peningkatan kes khasnya bagi penduduk di sekitar Kuching,” ujarnya.

Kata Uggah lagi, sekiranya tiada keperluan mendesak atau penting, orang awam dinasihatkan untuk terus kekal berada di rumah.