KUCHING:  Sarawak Media Group (SMG), pengendali TV Sarawak (TVS), hari ini mengumumkan kerjasama dengan Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) dalam bidang teknologi digital dan penghasilan kandungan.

SMG dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama ini meliputi perkembangan kurikulum, kepakaran industri dan khidmat nasihat, program latihan khusus, perantis pelajar, penyelidikan dan mempromosi institusi itu sebagai universiti pilihan di Sarawak.

Memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama ini telah ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Suhaimi Sulaiman dan Naib Canselor UCTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid dengan disaksikan Dekan Pusat Pengajian Komputer dan Media Kreatif UCTS, Tan Sri Alan Ting Huong Yong.

Suhaimi berkata bertepatan dengan slogan TVS, ‘Menginspirasi duniamu’ yang bertujuan menyampaikan maklumat, mendidik dan menghiburkan, pihaknya mahu mendidik masyarakat untuk menghasilkan idea yang dapat membantu meningkatkan produktiviti Sarawak secara menyeluruh.​

“Melalui kolaborasi SMG dengan UCTS, MoU ini turut memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam jangka masa yang panjang, selari dengan objektif untuk memastikan kesepakatan kerjasama ini dapat menghasilkan sebuah hubungan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Prof Khairuddin berkata kerjasama dengan SMG ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk pelajarnya melonjak potensi serta dibentuk untuk menerajui pelbagai industri, lantas mengharumkan UCTS di persada antarabangsa.

“Melalui program ini, ia dapat memberi maklumat yang bermanfaat kepada komuniti, dengan harapan lebih ramai anak-anak muda di Sarawak lebih peka dengan pelbagai bidang yang ditawarkan oleh UCTS,” katanya.

TVS merupakan saluran televisyen pertama Sarawak yang telah beroperasi sejak Oktober 2020 manakala UCTS merupakan sebuah universiti milik penuh kerajaan Sarawak.– BERNAMA