BINTULU: Kerajaan Sarawak amat mengutamakan tahap integriti di setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

Menyifatkan integriti sebagai satu amalan yang dituntut oleh semua agama, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri tidak akan berputus asa dalam menyebarluaskan nilai integriti hingga ke akar umbi.

Menurutnya, integriti merupakan soal hati, iaitu jati diri yang membuktikan keteguhan, keutuhan dan kemantapan nilai yang ada dalam diri individu.

Justeru,tegasnya, elemen integriti perlu disemai antara semua penganut agama agar wujud rasa tanggungjawab dan saling menghormati di antara satu sama lain terutama di kalangan masyarakat berbilang etnik dan latar belakang budaya dan agama.

Talib merakamkan gambar bersama peserta Forum Integriti Dari Perspektif Pelbagai Agama.

Setiap agama melihat nilai integriti sebagai satu nilai yang perlu ada pada setiap insan, yang membentuk peribadi unggul, ujarnya semasa merasmikan Forum Integriti Dari Perspektif Pelbagai Agama, petang semalam.

Talib yang juga Adun Jepak turut menyifatkan rakyat negeri ini, bertuah ekoran memiliki Kerajaan Negeri yang menjaga serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua agama sekali gus membolehkan masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.

Ini adalah bukti perpaduan semua kaum di Sarawak, ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak alpa dengan kemungkinan wujudnya ketegangan atau konflik jika kita tidak memelihara dan mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

Kita harus waspada terhadap kemungkinan pandangan atau tindakan ekstremis yang muncul yang saya percaya tidak mewakili mana-mana agama yang memiliki kecenderungan untuk merobek perpaduan dan kesepakatan masyarakat pelbagai lapisan, katanya.

Oleh itu, katanya, terdapat keperluan untuk menganjurkan dialog atau forum berterusan yang memungkinkan pertukaran pandangan, idea, pengalaman bahkan keterbukaan untuk menerima kritikan sebagai platform untuk
memperkukuhkan lagi simpulan semua agama.

Ia bertujuan untuk memperoleh pemahaman dan penerimaan yang lebih baik, walaupun terdapat perbezaan pendapat dan keyakinan selain sebagai salah satu senjata yang paling berkesan dalam memerangi kejahilan, prasangka, toleransi dan fanatik, tambahnya lagi.

Anggaran 160 peserta terdiri daripada ahli pertubuhan keagamaan (Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Baha’i dan Tao),ketua masyarakat dan ketua kaum serta penjawat awam menghadiri Forum Integriti dari Perspektif Pelbagai Agama bertempat di Hotel Promenade, di sini,semalam.

Talib menyampaikan cenderahati kepada salah seorang ahli panel Forum Integriti Dari Perspektif Pelbagai Agama.

Forum anjuran bersama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri(UNION) Unit Hal-Ehwal Agama-Agama Lain(UNIFOR) dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu ini merupakan julung kali diadakan di Bahagian Bintulu.

Penganjuran forum sehari ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama antara agama dalam usaha menangani isu-isu berkaitan integriti, selain menggalakkan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti.

Di samping itu, ia juga bertujuan sebagai penyumbang terhadap usaha mengukuh asas moral dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Forum bertemakan ‘Perpaduan Dengan Integriti’ ini dimulai dengan pengenalan kepada UNIFOR yang disampaikan sendiri oleh Pengarah UNIFOR, Richard Lon, diikuti dengan slot Pengurusan Kewangan oleh Yeo Wee Kiak Pegawai dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan sesi ceramah ketiga dengan tajuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 649 oleh Penolong Penguasa SPRM Bahagian Bintulu, Jawa anak Milu.

Wakil Pengarah UNION Jabatan Ketua Menteri, Paul Murphy Ningkan, Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat antara yang hadir.

Talib ditemani Richard dan Jack mendekap telapak tangan pada monitor komputer riba simbolik merasmikan Forum Integriti Dari Perspektif Pelbagai Agama di Bintulu.