PUTRAJAYA: Tekanan tugas yang tinggi, kelesuan mental dan fizikal, sukar melelapkan mata di malam hari tidak mematahkan semangat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus berjuang memerangi penularan COVID-19 yang berlarutan di dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata seluruh warga KKM termasuk beliau sendiri tidak terkecuali daripada terkesan akibat kelesuan mental dan fizikal dalam berhadapan dengan “musuh” yang tidak dapat dilihat itu.

“Setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugasan dengan sebaik mungkin. Mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan sendiri (yang merasai) tekanan yang amat tinggi.

Kadang-kadang malam pun tak boleh tidur kerana pelbagai aktiviti yang kita fikirkan (mengenai) bagaimana kita nak menyelesaikan masalah ini. (Namun), setakat ini kita masih boleh bertahan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata semasa menghadiri persidangan video bersama pakar-pakar perubatan di Sabah pagi ini, beliau berpendapat rata-rata daripada mereka masih bersemangat tinggi dalam membincangkan situasi pandemik COVID-19 negara.

Katanya lagi, petugas kesihatan perlu pandai menjalankan jadual bekerja secara penggiliran bagi memberi masa untuk mereka berehat.

“Tetapi, walaupun bagi masa (untuk) rehat kita kadang-kadang tak boleh rehat… bangun tengah malam memikirkan bagaimana untuk selesaikan masalah. Ini semua cabaran untuk kita semua sama ada di lapangan, petugas barisan hadapan atau di sebalik tabir,” katanya.

Mengenai jumlah kumulatif petugas kesihatan yang dijangkiti wabak itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 949 petugas kesihatan mendapat COVID-19.

Beliau berkata kebanyakan daripada petugas kesihatan yang positif mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya dari wad unit rawatan rapi (ICU) atau COVID-19.

“Apa yang penting apabila mereka terdedah dengan kes positf, kita kena kuarantinkan mereka dalam tempoh tertentu. Yang penting mereka kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Contohnya, kalau mereka berkhidmat di ICU dan wad Covid mereka kena patuh SOP sedia ada, namun banyak kes positif jangkitan bukan di dalam wad ICU atau COVID-19 tetapi daripada komuniti,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham dua kumpulan yang amat berisiko dijangkiti ialah ahli keluarga kepada pesakit positif dan petugas kesihatan. — BERNAMA