MENGENALI bahasa ibunda juga sinonim dengan mengenali adat dan budaya kita sendiri.

Sebab itu diwujudkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa – ia untuk kita berkomunikasi dalam komuniti masing-masing.

Bahasa Iban merupakan salah satu bahasa yang sering digunakan oleh masyarakat Iban di kawasan pedalaman, daerah kecil selain komuniti Iban di bandar.

Bahasa Iban mula didokumentasikan pada 1983 menerusi buku Sistem Sepil Jaku Iban. Tetapi sistem ini diubah kepada Atur Sepil Jaku Iban pada 1995 sebelum menjadi Sistem Jaku Iban di Sekula pada 2007 yang digunakan sehingga kini dan dikenali sebagai Buku Hijau.

Pengamal sistem bahasa Iban menghadapi kesukaran dalam menjadikan Buku Hijau sebagai panduan seluruh pengguna bahasa itu kerana bahasa Iban sangat luas.

Jika dahulu bahasa Iban digunakan mengikut daerah atau dikenali menerusi sungai seperti Iban Balau, Iban Sungai Rajang dan sebagainya, kini bahasa Iban telah bercampur dan menggunakan istilah kurang tepat.

Menurut pakar, bahasa Iban pada asalnya direkodkan kesan daripada penyebaran agama Kristian dalam komuniti Iban dan didokumentasikan oleh orang Inggeris.

Sebab itu, banyak perkataan bahasa Iban lama dieja tidak seperti perkataan itu disebut kerana didokumentasikan oleh orang lain, bukan orang Iban sendiri.

Apabila wujud anak-anak Iban yang cerdik pandai, maka sistem bahasa Iban mula berubah dan disusun semula dari segi ejaan dan maksud.

Bahasa Iban juga banyak meminjam daripada bahasa Inggeris kerana bahasa itu menjadi rujukan sebelum diterjemah kepada bahasa Iban.

Kini, bahasa Iban telah mengalami perubahan ketara apabila wujud media sosial yang begitu pesat.

Penggunaan bahasa Iban dalam media sosial juga amat meluas sehingga berlaku percanggahan bahasa yang amat ketara.

Keadaan ini menyebabkan bahasa rojak, bahasa campur dan bahasa yang tidak standard digunakan sesuka hati penggemar media sosial.

Sambil lewa

Lebih parah apabila generasi muda yang mengambil sikap sambil lewa terhadap bahasa ibunda sendiri.

Amat malang apabila ramai anak-anak bangsa Iban tidak fasih bercakap dalam bahasa ibunda sendiri kerana tidak dilatih bercakap dalam bahasa Iban oleh ibu bapa mereka.

Pengecualian boleh diberikan kepada ibu bapa yang kahwin campur – berlainan bangsa sehingga menyebabkan mereka memilih satu bahasa pengantara untuk berkomunikasi di rumah.

Tetapi bagi ibu bapa berbangsa Iban, menggunakan bahasa lain untuk berkomunikasi dengan anak-anak sehingga melupakan bahasa ibunda, merupakan sesuatu yang kita sebut bagai kacang lupakan kulit.

Bahasa ibunda teras asal usul diri! Jadi kenapa kita perlu melupakan bahasa asal yang telah digunakan sejak dahulu lagi?

Tidak dinafikan peredaran zaman yang semakin moden menyebabkan kita lebih memberi perhatian kepada perkara yang lebih penting, namun pengunaan bahasa ibunda tidak boleh dilupakan semata-mata.

Oleh itu, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menguasai bahasa ibunda sendiri amat penting. Ini kerana apabila anak-anak mula bersekolah, mereka akan mengenali lebih banyak lagi bahasa lain.

Jadi sebagai teras panduan hidup anak-anak, kita harus mengajar bahasa ibunda kepada mereka sejak kecil lagi.

Malah, penerapan bahasa ibunda ini juga membantu anak-anak untuk menguasai banyak lagi istilah yang betul dan tepat dengan lebih baik.

Bahasa Iban di sekolah

Subjek Bahasa Iban tidak banyak ditawarkan di sekolah terutamanya sekolah di bandar. Ramai ibu bapa berpendapat keputusan peperiksaan anak mereka menurun sekiranya mengambil subjek Bahasa Iban di sekolah.

Pandangan ini salah! Mereka sepatutnya menggalakkan anak-anak mengambil subjek itu kerana mempelajari bahasa Iban yang betul adalah perlu. Jika tidak, bahasa kita akan terus tenggelam dan hilang.

Sebagai generasi muda, kita menjadi penyambung keaslian bahasa Iban.

Sama seperti bahasa lain, bahasa Iban juga tidak seharusnya ketinggalan sama ada dalam sistem sekolah, media cetak ataupun media sosial.