KUCHING: Bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran dalam sistem Inisiatif Pengukuhan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik di Sekolah Keban gsaan (SK) akan dilatih semula di empat Institut Perguruan Guru (IPG) Sarawak bermula bulan hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, sekitar 600 guru akan dilatih semula dan kementeriannya mempunyai peruntukan untuk melatih guru terbabit.

“Guru-guru ini dilatih semula kerana kebanyakan mereka dipaksa untuk mengajar subjek tersebut walaupun ia bukan pilihan mereka.

“Sudah pasti ia tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajar dan kadangkadang mereka tidak dapat mengajar benda yang betul.

“Oleh itu, dengan kerjasama IPG Batu Lintang, IPG Tun Abdul Razak, IPG Kampus Sarawak Miri dan IPG Rajang, keputusan dalam melatih mereka pasti akan membuahkan hasil dalam memberi impak kepada inisiatif Stem agar ia bertepatan dengan visi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam melengkapkan pelajar dengan keperluan Industri Revolusi 4.0,” jelas Manyin dalam Majlis Pelancaran Buku Model STEM 4.0 Peringkat Menengah di IPG Batu Lintang baru-baru ini.

Manyin turut memaklumkan statistik bagi guru sekolah rendah yang mengajar Matematik di Sarawak ialah 2,995 dan kebanyakannya guru opsyen yang tiada asas serta dipaksa untuk mengajar subjek ini.

“Bagi guru Sains sekolah rendah pula, sebanyak 3,992 guru yang mengajar subjek ini dan kebanyakannya dipaksa untuk mengajar serta tidak dilatih dalam pembelajaran Sains.

“Ini disebabkan Sarawak yang mempunyai Sekolah Kurang Murid (SKM), iaitu 651 sekolah rendah daripada jumlah keseluruhan 1,258 buah di Sarawak. “Ia merupakan masalah yang amat mencabar bagi kita,” jelas beliau.

Jelas Manyin, mengikut maklum balas yang diterima daripada ibu bapa, kebanyakan anak-anak mereka tidak minat dalam subjek Sains dan Matematik.

“Pelajar sekolah rendah ini perlu dididik dengan baik dalam subjek ini agar tidak terkapaikapai apabila berada di sekolah menengah nanti.

“Mengikut rekod, hanya 23 peratus pelajar tingkatan empat mengikuti aliran sains tulen. “Oleh itu, melalui aplikasi digital yang serba canggih pada zaman sekarang, ia akan dapat menarik minat pelajar dalam pembelajaran ini agar inisiatif Stem 4.0 dapat dicapai,” katanya.