KUALA LUMPUR: Jumlah anggota keselamatan negara masih mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19 walaupun ada diantara mereka yang positif dan perlu dikuarantin akibat jangkitan virus tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mempunyai pelan tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Katanya pelan itu termasuk menggerakkan anggota daripada kawasan yang lain, bagi membantu kawasan yang terkesan akibat anggota dikesan positif atau dikuarantin.

“Setakat ini kita masih mampu untuk ‘mobilised’ (menggerakan) anggota daripada kawasan lain untuk membantu kawasan-kawasan yang terlibat, di mana anggota mereka dijangkiti.

“Kita masih mencukupi anggota, rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada kes, kita masih bersedia dan mampu menambah anggota juga menggantikan anggota terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Pada 27 Okt lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif jangkitan COVID-19.

Hamzah berkata kadar jangkitan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggi telah membantutkan keupayaan serta kekuatan pasukan itu, dalam penugasan menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bantuan makanan hanya akan diberikan kepada kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan bukan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya ini kerana kawasan yang diisytiharkan sebagai PKPB masih dibenarkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti biasa.

“Ini termasuklah Pulau Omadal, Sabah yang diisytiharkan sebagai kawasan PKPB, di mana penduduk di kawasan berkenaan masih boleh melakukan aktiviti ekonomi selain itu, Pulau Omadal tidak disenaraikan sebagai enam lokalti kawasan PKPD dan kerana itulah kerajaan tidak menghantar sebarang bantuan makanan,” katanya.

Ismail Sabri berkata sekiranya penduduk di Pulau Omadal memerlukan bantuan makanan, perkara berkenaan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah katanya mengulas dakwaan penduduk Pulau Omadal yang tidak menerima bantuan daripada Majlis Keselamatan Negara.

— BERNAMA