PEMAIN utama Sarawak United yang juga bekas pemain sayap skuad Liga Super Kuala Lumpur, Ashri Chuchu sedia mempertimbang, jika ada tawaran daripada pasukan Kuching FA.

Ini kerana pemain kelahiran Limbang itu, tidak berhasrat untuk berhijrah ke Semenanjung atau Sabah dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya mahu kekal di Sarawak dan tidak memikirkan untuk ke sana (Semenanjung). “Buat masa ini keluarga menjadi keutamaan saya. Oleh itu, sukar untuk saya keluar dari Sarawak,” kata bekas pemain Harimau Muda itu.

“Jika ada tawaran pasukan di sini (Kuching FA)… saya sedia mempertimbang keputusan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ashri menjelaskan buat masa ini belum ada pasukan yang melamarnya.

Setelah tiga tahun menimba pengalaman bersama Kuala Lumpur (2017-2019), Ashri merupakan antara pemain tempatan Sarawak yang menjadi buruan beberapa pasukan musim lalu.

Namun beliau memilih Sarawak United FC (SUFC). Dan ada kemungkinan Ashri akan kekal berasama SUFC, bergantung kepada situasi dan keadaan.

Beliau merupakan pemain utama SUFC sepanjang musim ini bersama-sama tiga nama besar bola sepak Malaysia, Anri Yahyah, S. Chanturu dan Patrick Ronaldinho.

SUFC yang menduduki tangga ke-10 liga musim ini kekal bersaing dalam Liga Premier 2021.