SIBU: Lima lelaki menyamun sebuah rumah sarang burung walit dan nyaris merogol isteri kepada penjaga rumah burung tersebut pada awal pada pagi Khamis.

Penjaga rumah burung terbabit turut diikat tangannya serta suspek bertindak melarikan tiga unit telefon bimbit milik mangsa dan isterinya.

Sarang burung seberat lebih lima kilogram bernilai RM17,000 juga turut dikebas mereka.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dalam satu kenyataannya hari ini (Jumaat) berkata, kelima-lima suspek kini masih bebas dan giat diburu oleh polis.

“Suspek-suspek disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah sarang burung walit yang terletak di Batu 25, Jalan Pasai Siong dekat sini.

“Kejadian berlaku sekitar jam 12.40 pagi telah menyebabkan pemilik rumah sarang burung walit berkenaan kerugian lebih kurang RM17,000,” katanya sebentar tadi.

Stanley memberitahu dengan lebih lanjut, ketika kejadian tangan pengadu, 22, yang juga penjaga rumah sarang burung diikat ke belakang badan menggunakan wayar elektrik manakala lehernya diacukan dengan senjata parang.

Jelasnya lagi, pengadu juga mendakwa bahawa isterinya nyaris-nyaris dirogol oleh salah seorang suspek namun tidak berjaya.