SRI AMAN: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi negeri yang berteraskan pembangunan masyarakat. Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais berkata, antara inisiatif ini termasuk usaha dalam membangunkan usahawa kontraktor bumiputera.

Menurutnya, pandemik Covid-19 merupakan musibah yang tidak diduga dan satu bencana besar menyebabkan ekonomi terjejas.

Setakat September ini, di bawah Skim Pinjaman Industri dan Sederhana (SPIKS), kementeriannya meluluskan RM4 juta bantuan kewangan yang memberi manfaat kepada 33 PKS untuk modal pusingan, pembelian mesin atau peralatan.

“Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BSKK) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Usahawan dan kontraktor juga terjejas pendapatan akibat pandemik ini turut dibantu dengan BKSS SME 2.0 Special Relief Fun (SRF) yang dilaksanakan oleh kementerian ini dengan kerjasama tujuh bank,” ujarnya semasa Simposium Usahawan Kontraktor Siri 13 di sini.

Kata Naroden, tujuh bank terlibat ialah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank, SME Bank, Bank Muamalat dan Hong Leong Bank.

Beliau menambah, setakat September 2020, kementeriannya meluluskan 1,828 permohonan dengan jumlah kelulusan oleh kementerian yang bernilai RM524.139 juta untuk tujuan tersebut.

“Kerajaan Sarawak mahu melihat usahawan dan kontraktor terus berwibawa dan berdaya saing,” tegasnya.