SUKAN memanah mungkin kurang popular berbanding berbasikal, permainan gasing dan futsal di Daerah Saribas, malah di peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, ia antara aktiviti riadah yang dekat dengan Rasulullah SAW selain berenang dan berkuda. Sesuai sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim, “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).”

Begitu juga dalam satu hadis lain – Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu. (Riwayat Bazzar dan Thabarani).

Justeru bersempena memperingati kelahiran Rasulullah SAW hari ini, memanah harus dimartabat dan diangkat agar setanding sukan popular terkini.

Seperti kata seorang pendakwah yang dipetik akhbar nasional, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mencari kekuatan yang terdapat dalam sukan memanah.

Memanah boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya, akan menjadikan dia lebih yakin dan tenang.

Manakala akal yang fokus melahirkan pemikiran yang tajam. Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu melegakan badan.

Ini menunjukkan setiap sunah itu memiliki hikmah dan setiap daripadanya terdapat keistimewaannya yang kita tidak tahu.

Bahkan, sukan memanah juga boleh dikaitkan dengan ibadah solat iaitu pergerakan solat itu sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri.

Sementara bagi bangsa Melayu, aktiviti memanah sememangnya cukup sinonim seperti disebut dalam beberapa catatan sejarah termasuk naskhah Sulalatus Salatin.

Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara Hasanuddin Yusof memberitahu, penggunaan panah sudah lama dikuasai masyarakat Melayu sebagai senjata tradisional.

Selain catatan mengenai penggunaan panah oleh Raja Gangga Shah Johan dalam Perang Gangga Negara, Tun Sri Lanang mencatatkan kemahiran memanah masyarakat Melayu yang disifatkannya sebagai sangat mahir.

Antara yang ditulis Tun Sri Lanang ialah mengenai kemahiran memanah Hang Nadim yang sangat baik hingga panahannya bergerak laju seperti gerakan petir.

Namun Hang Nadim memanah bukan bertujuan mendatangkan kecederaan kepada lawannya, sebaliknya lebih kepada satu bentuk amaran supaya beliau tidak diekori oleh tentera Pahang dalam satu kejadian.

Kebijaksanaan orang Melayu mengubah ciptaan senjata yang berasal dari Asia Barat itu juga terbukti apabila anak panah yang dihasilkan diletakkan racun.

Justeru, di Saribas melalui Kelab Memanah Saribas (KMS), berhasrat mengangkat semula sukan warisan itu agar terus diminati lebih ramai masyarakat.

Walaupun penglibatan masyarakat masih rendah tetapi dengan pelbagai rancangan yang disusun atur diyakini akan membugarkan kembali aktiviti memanah.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memanah mula berkembang sebagai aktiviti sukan di England sekitar abad ke-16 apabila Raja Hendry VIII mengarahkan Sir Christopher Morris menubuhkan kelab memanah pada 1537.

Pertandingan memanah pertama mula dianjurkan pada 1673 di Yorkshire untuk lelaki dan pertandingan pertama bagi wanita bermula pada 1787.

Di benua Amerika Utara, kelab memanah pertama mula ditubuhkan pada 1828 yang dikenali sebagai United Bowman of Philadelphia.

Memanah mula dipertandingkan dalam Sukan Olimpik pada 1900 di Paris, 1904 di Saint Louis dan 1920 di Belgium.

Selepas tahun itu, sukan memanah tidak dipertandingkan ekoran tiada satu peraturan tetap mengenai pertandingan sehingga Persekutuan Memanah Antarabangsa (Fita) menggubal undang-undang pertandingan.

Sukan memanah kembali dipetandingkan Sukan Olimpik pada 1972 di Munich.

Selain itu, memanah menguatkan bahagian atas badan, mengukuh serta meningkatkan fleksibiliti tangan, pergelangan tangan dan jari termasuk membangunkan kemahiran mengkoordinasi mata.

Antara lain meningkatkan kekuatan mental dan penumpuan dengan menjadikan memanah sebagai kaedah senaman minda.

Ia turut meningkatkan kesabaran dan keyakinan diri serta memberikan keseronokan.

Aktiviti berjalan semasa memanah memperbaiki kesihatan kardiovaskular, otot dan kekuatan kaki.

Justeru, Islam agama syumul yang mendidik umatnya agar mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi.

Menjadi kemestian, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan fizikal yang kuat.

Tanpa mengira usia dan kedudukan, wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.